Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 27 OGOS: Rakyat negeri ini terus menikmati pemberian air percuma 20 meter padu walaupun selepas penstrukturan industri air selesai.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (PAAB), Suhaimi Kamaralzaman berkata pihaknya dan Kerajaan Negeri bakal mencari alternatif bagi memperluaskan lagi program itu untuk pengguna.
Katanya, kajian terperinci dijalankan membabitkan pihaknya, Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan.
“Seperti dinyatakan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, pemberian air percuma tetap diteruskan. Tidak ada rancangan untuk memberhentikan program ini.
“Kita lakukan kajian mendalam terutamanya menganalisis penggunaan air dan mengenal pasti penerima bekalan air percuma,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Suhami berkata kajian terbabit bertujuan untuk menentukan sejauh mana pengguna memberi manfaat kepada pengguna berpendapatan rendah, individu yang kurang bernasib baik dan pengguna yang memerlukan bantuan jangka panjang.
“Dari hasil kajian, saya percaya pengguna akan membantu penambahbaikan untuk menangani kelemahan dan lebih fokus program bantuan subsidi.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata tawaran pengambil alihan daripada syarikat konsesi kekal RM9.65 seperti yang diputuskan sejak 2013.
Katanya, pengambil alihan itu melalui kaedah pajakan aset syarikat konsesi terlibat bernilai RM2 bilion kepada PAAB.
Katanya, manakala RM7.65 billion adalah jumlah liabiliti dipinjam syarikat konsesi air iaitu Syabas, Abass dan Puncak Niaga. Liabiliti itu dalam bentuk bon dan ianya digunakan untuk membangunkan aset air syarikat konsesi.
“Namun apabila Kerajaan Negeri mengambil alih syarikat konsesi ini, liabiliti berserta aset yang dibina menggunakan bon (RM2 billion) tersebut akan dipindahkan kepada Pengurusan PAAB,” katanya.
“Hutang berkaitan dengan air daripada syarikat konsesi terutamanya untuk pembinaan, pengubahsuaian dan penggantian loji rawatan air dan sistem bekalan air.
“Ia juga dipindahkan kepada PAAB dan seterusnya menyewakannya semula kepada Air Selangor pada kadar pajakan yang dipersetujui,” katanya.
EZY