Categories
KENYATAAN MEDIA

Siswa UiTM berhak sertai BERSIH 4

Kami mengecam kenyataan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Prof Sahol Hamid Abu Bakar, yang menghalang siswa UiTM daripada menyertai BERSIH 4 dan ugutan yang beliau keluarkan terhadap siswa yang ingin menyertai perhimpunan aman ini.

Hakikatnya penyertaan himpunan BERSIH adalah sesuatu yang sah dan dilindungi di dalam artikel 10 Perlembagaan Malaysia yang menjamin kebebasan berhimpun secara aman.

Kenyataan Naib Canselor bahawa perhimpunan BERSIH 4 adalah haram merupakan satu kenyataan yang salah. Hak berhimpun secara aman seperti yang ingin dianjurkan BERSIH adalah termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.

BERSIH 4Sebagai seseorang yang bergelar Naib Canselor, beliau tidak seharusnya bertindak melangkaui tafsiran undang-undang terutamanya Perlembagaan, undang-undang tertinggi negara. Kami meminta agar Naib Canselor menghormati Keluhuran Perlembagaan, Rukunegara yang ketiga.

Kenyataan terbaru Naib Canselor ini adalah sesuatu yang mengecewakan dan tidak mencerminkan status beliau sebagai seorang terpelajar, yang sepatutnya menggalakkan pemikiran kritis di kalangan siswa dan menghormati kebebasan akademik para siswa.

Hakikatnya, para siswa bebas untuk memilih dan pastinya bebas untuk mempunyai pendirian politik mereka sendiri. Ini bukanlah tugas seorang Naib Canselor untuk menakut – nakutkan siswa dan lebih lagi cuba menentukan pemikiran siswa masa kini.

Naib Canselor juga telah gagal untuk berlaku jujur apabila melibatkan penyertaan mahasiswa di dalam himpunan aman.

Faktanya, UiTM sendiri pernah membenarkan para siswa UiTM untuk mengadakan perhimpunan aman di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada Ogos 2008, bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan membuka kuota pengambilan pelajar sebanyak 10% kepada pelajar bukan Bumiputera.

Himpunan ini tidak dihalang malah telah digalakkan untuk para siswa menyertainya. Ini menjadi bukti bahawa, menyertai perhimpunan aman adalah tidak salah di sisi undang – undang UiTM.

Kami selaku alumni UiTM, ingin menyeru semua mahasiswa, yang benar – benar peduli dengan masa depan kita dan negara ini, yang tidak sanggup lagi melihat kepincangan dan kebobrokan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional – bersama – samalah kita menyertai himpunan BERSIH 4 pada 29 dan 30 Ogos ini, waima di Kuala Lumpur, Kuching mahupun Kota Kinabalu menuntut perubahan demi menyelamatkan Malaysia.

Dr AFIF BAHARDIN (MBBS UiTM 2003 – 2009)
Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang
TImbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

DYANA SOFYA
Ahli Majlis Eksekutif DAPSY Kebangsaan

27 Ogos 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published.