Categories
NASIONAL

Azmin: Laksana perubahan jika rakyat Melaka mahu nikmati hasil negeri

Oleh: NAEEM RAFFI

MELAKA, 3 OGOS: Rakyat Melaka perlu bangkit dan berani membuat perubahan jika mahu menikmati limpahan hasil negeri seperti yang dikecapi rakyat Selangor sejak 2008 di bawah Pakatan Rakyat (Pakatan).

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata impian rakyat untuk mendapat pembelaan dan keadilan hanya mampu dikecapi jika tampuk kepimpinan ditadbir pemimpin yang amanah dan bukannya perompak.

MB Azmin“Ketika saya ambil alih Kerajaan Selangor (23 September lalu), rezab simpanan negeri RM3.2 bilion dan kini selepas 11 bulan meningkat kepada RM3.65 bilion iaitu tertinggi dalam negara.

“Simpanan ini bukan wang pemimpin tetapi rakyat dan kita belanjakan sejumlah besar daripadanya untuk kepentingan serta kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Warung Reformasi, Simpang Solok Gaung, di sini, semalam.

Beliau selaku Timbalan Presiden PKR hadir ke Melaka mengiringi Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk siri Jelajah Amanat Presiden kepada pimpinan PKR negeri yang sebelum ini berlangsung di Hotel Sri Impian, Jasin.

Atas kemampuan kewangan, Selangor melancarkan HIJRAH iaitu sebuah program bantuan perniagaan bermula RM5,000 sehingga RM50,000 tanpa sebarang faedah dan sehingga kini Kerajaan Negerimemperuntukkan RM100 juta melibatkan 56,000 perniaga kecil di Selangor .

IMG_20150802_180955“Tidak cukup dengan itu, anak Selangor yang layak ke universiti milik kita iaitu KUIS dan UNISEL diberi biasiswa dengan peruntukan RM22 juta tahun ini.

“Bagi kerja naik taraf jalan pula, tahun ini sahaja kita membelanjakan RM600 juta,” katanya.

Terbaru, lebih 17,000 penjawat awam Selangor termasuk pensyarah, pegawai akademik dan kakitangan UNISEL menerima bonus sebulan gaji sebagai persediaan menyambut Aidilfitri melibatkan peruntukan RM35 juta.

Berbanding Kerajaan Persekutuan yang hanya memberi RM500 kepada penjawat awamnya.

“Tidak mustahil kita mampu memberi lebih manfaat kepada rakyat jika Pakatan diberi peluang mentadbir Putrajaya.

“Semua manfaat ini mampu dilaksana kerana kita amanah dan tidak merompak hak rakyat,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.