Oleh : NAEEM RAFFI
KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Peniaga sekitar Puduraya mengakui perniagaan mereka beroleh keuntungan sekali ganda pada hari pertama penganjuran himpunan Bersih 4.0 yang berlangsung di sekitar ibu negara.
Pengakuan itu, sekali gus menolak dakwaan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan kononnya Bersih 4.0 merencatkan ekonomi peniaga di pusat bandar Kuala Lumpur.
Pengusaha kedai makanan, Manikaran, 35, berkata kehadiran pelanggan ke kedainya meningkat hampir sekali ganda bermula jam 11 pagi hingga jam 6 petang tadi berbanding hari minggu biasa.
“Saya tidak dapat beri jumlah keuntungan tetapi jumlah pelanggan meningkat hari ini. Pelanggan hari ini ramai berbaju kuning dan mungkin mereka peserta Bersih.
“Tidak pula kecoh sebaliknya makanan kami laris terjual,” katanya ketika ditemui Selangor Kini.
Pembantu kedai runcit, V Shathi, 32, berkongsi berita sama dan menolak dakwaan peserta Bersih sebagai ancaman kepada peniaga.
“Seperti hari biasa, bezanya hari ini lebih sedikit. Mereka pelanggan yang baik datang ke kedai membayar setiap apa yang diambil.Bukan merompak,”
Sebelum ini, Ahmad Maslan turut mendakwa kononnya Bersih 4.0 merencatkan ekonomi peniaga tempatan dan pelaburan asing.
Ahmad turut mendakwa himpunan itu akan merosakkan kegembiraan rakyat Malaysia dalam Bulan Kemerdekaan selain membimbangkan pelancong asing datang melihat keindahan Kuala Lumpur.
-NFN-