Oleh: NAEEM RAFFI
KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tampil di pentas utama Bersih 4.0, di Dataran Merdeka, di sini dengan mengupas sebaris lirik lagu negaraku.
Walaupun ringkas, ia membawa maksud yang cukup besar dengan tepukan gemuruh peserta perhimpunan yang bermukim di dataran itu, sejak semalam (29 Ogos).
“Negaraku, Tanah tumpahnya darahku. Darah siapa ini? Darah kita, darah melayu, cina, india, asli, iban, kadazan.
“Darah ini tak sudi sama sekali ditindas pemimpin zalim,” katanya.
Mengupas tema kemerdekaan tahun ini, Wan Azizah berkata ia amat bertepatan kerana rakyat Malaysia sememangnya ‘sehati sejiwa’ menolak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kita sudah tunjuk pada mereka bahawa kita sehati sejiwa tuntut Najib undur, tolak korupsi, rasuah dan kekejaman.
“Kerana itu adalah nilai sebenar yang membawa maksud merdeka buat rakyat,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, beliau mengajak semua rakyat erus mengingati pengorbanan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini di penjara.
-NFN-