Categories
SELANGOR

Dua daerah bebas penyakit kuku & mulut

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 OGOS: Industri penternakan di Hulu Selangor dan Sabak Bernam diisytihar sebagai daerah bebas penyakit kuku dan mulut (FMD).

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor, Dr Akma Ngah Hamid berkata, jabatan itu mensasarkan tujuh lagi daerah memperoleh status sama tahun ini.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kerajaan Negeri dan DVS menggubal satu dasar bahawa Malaysia perlu mencapai status bebas beberapa jenis penyakit haiwan jika negara ini, khususnya Selangor ingin mempertahankan industri penternakan pada masa akan datang.

pembentangan pengarah“Lanjutan daripada dasar ini, Program Pengekalan Ladang Bebas Penyakit Haiwan dimulakan pada 2012 dan tumpuan dihalakan terlebih dahulu kepada FMD serta Bruselosis bagi ternakan ruminan serta penyakit sampar atau ‘Newcastle’s Disease’ untuk ternakan unggas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Program Pengekalan Ladang Bebas Penyakit Haiwan di Ibu Pejabat DVS Selangor, di sini, hari ini.

Dr Akma berkata, lima strategi yang digariskan bagi menjayakan sasaran itu adalah dengan mengawal pengimportan ternakan, pemindahan dan penyembelihan ternakan, bersiapsiaga dari segi ubatan dan peralatan dan melaksanakan vaksinasi strategik.

DVS juga menganjurkan kempen kesedaran kepentingan kawalan penyakit seperti seminar yang diadakan hari ini.

Katanya, seminar khusus untuk penternak unggas akan diadakan di Kuala Selangor, pada 12 Ogos ini.

majlis hari raya selepas seminarTerdahulu, lebih 50 peserta seluruh Selangor menghadiri seminar khusus untuk penternakan ruminan hari ini.

Objektif seminar itu diadakan untuk memberi kesedaran dan meningkatkan kefahaman dalam kalangan penternak berkenaan kepentingan mengekalkan zon bebas penyakit haiwan.

Seminar itu turut menerangkan pentingnya tindakan pantas mengawal penyakit yang bermula dengan melaporkan sebarang tanda dengan segera.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.