Categories
AGENDA NASIONAL

Veterinar siasat ladang susulan tarik balik telur dari pasaran Singapura

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menjalankan siasatan terhadap ladang CES 008 Lay Hong di Jeram, Selangor untuk mengenal pasti punca pencemaran Salmonella Enteritidis (SE) pada telur.

DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan jabatan itu telah membuat daya jejak sumber jangkitan SE, menjalankan siasatan penyakit, menyemak rekod pemvaksinan, pengeluaran telur dan rekod program survelan (pengawasan) penyakit di ladang.

Pada masa sama, DVS juga menjalankan pensampelan (sampel persekitaran, kloaka, makanan ternakan, air minuman dan telur) untuk pengesanan SE.

“Telur keluaran ladang CES 008 tidak dibenarkan dijual di pasaran tempatan sebagai telur sajian sehingga keputusan siasatan diperolehi. Telur daripada ladang ini hanya untuk penghasilan produk telur yang melalui rawatan haba di kilang pemprosesan syarikat yang terletak di Kapar dan Meru, Selangor.

“DVS juga menjalankan siasatan dan ujian SE terhadap semua ladang milik syarikat Lay Hong Berhad bagi memastikan telur keluaran ladangnya adalah bebas SE. DVS tidak membenarkan kemasukan semula telur ‘recall’ CES 008 ke Malaysia,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, DVS memaklumkan penggantungan CES 008 ke Singapura tidak menjejaskan pengeksportan bekalan telur dari lain-lain ladang ke negara itu dan bekalan untuk pasaran tempatan.

Selain itu, DVS memaklumkan bahawa melalui Program Survelan Penyakit Haiwan Kebangsaan, Salmonellosis merupakan salah satu penyakit yang dipantau di semua ladang ayam di Malaysia.

Semalam, Bernama melaporkan Singapura telah mengarahkan empat pengimportnya menarik balik telur keluaran Lay Hong di Malaysia daripada pasaran republik itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), arahan itu dibuat berikutan penemuan bakteria SE pada produk tersebut yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya produk berkenaan dimakan mentah atau separuh masak.

DVS memaklumkan terdapat lebih 2000 spesies Salmonella dan gejala pada manusia akibat jangkitan SE antaranya sakit perut, cirit-birit, loya, muntah serta demam. Namun, SE boleh dimusnahkan dengan cara memasak produk berkenaan dengan sempurna.

Terdahulu, DVS memaklumkan jabatan itu telah membuat sesi libat urus bersama pihak pengurusan Lay Hong hari ini.

“Terdapat 10 ladang ayam yang terdiri daripada dua ladang pullet dan lapan ladang ayam penelur milik syarikat Lay Hong Berhad. Hanya satu ladang iaitu CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura.

“Pihak syarikat memaklumkan bahawa 100 peratus telur keluaran daripada ladang CES 008 adalah untuk pasaran eksport ke Singapura.

“Pihak syarikat bersetuju untuk melaksanakan tindakan pembetulan dan pemantauan lebih kerap dan meningkatkan kawalan biosekuriti,” demikian menurut kenyataan tersebut.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pastikan haiwan kesayangan membiak secara terkawal – Veterinar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 JUL: Jangan biarkan haiwan kesayangan anda membiak secara tidak terkawal, itu pesanan Pengarah Perkhidmatan Veterinar Selangor, Dr Hassuzana Khalil.

Katanya, disebabkan tiada kawalan, ramai pemilik kucing yang bertindak membuang haiwan berkenaan sehingga menjadi haiwan terbiar.

“Masyarakat perlu menolak budaya ‘haiwan itu tiada hak’ dan ‘haiwan itu adalah gangguan’, jika dilihat punca haiwan menjadi gangguan adalah berbalik kepada sikap manusia juga.

“Disebabkan itu kami daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor (DVS) mahu menggalakkan pemilikan bertanggungjawab di kalangan pemilik haiwan kesayangan, maka disebabkan itu, klinik veterinar DVS mempromosi pemandulan kucing jantan,” katanya dalam ucapan ketika Hari Kebajikan Haiwan Negeri Selangor 2018 di Dewan Raja Muda Musa, petang tadi.

Hadir mencemar duli ialah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan turut berkenan merasmikan acara berkenaan yang dianjurkan julung kalinya oleh DVS di peringkat negeri itu.

Turut hadir isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad dan Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Norhisham Mohammad @ Mohd Isa.

Hassuzana berkata, sebelum ini Hari Kebajikan Haiwan hanya diadakan pada peringkat Persekutuan sahaja.

“Matlamat utama program ini supaya masyarakat bersikap lebih prihatin dan sayang kepada haiwan sekeliling tidak kira ia dipelihara ataupun tidak bertuan.

“Melalui program ini juga, DVS mempromosikan langkah menyelamatkan haiwan terbiar dengan mewujudkan gerai ‘Kucing Angkat’,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Eksport telur ayam Selangor ke Singapura lebih RM43.5 juta

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 OGOS: Pengeluaran telur ayam di Selangor sudah mencapai status keperluan sara diri sekaligus membolehkan produk itu dieksport ke pasaran luar negara.

Mengikut data dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri, Selangor dianggarkan mengeksport produk telur ayam ke Singapura bernilai RM43,518,900, pada 2014.

telur ayamNilai eksport itu terdiri daripada 125,760,000 biji telur dengan nilai eksport RM38,985,600.

Sementara putih telur cecair pula mencatatkan 85,515 kilogram (kg) dengan nilai eksport RM1,539,270 dan 166,335 kg telur cecair bernilai RM2,994,030.

Pengarahnya, Dr Akma Ngah Hamid, berkata DVS Selangor turut mensasarkan ternakan ruminan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan rakyat negeri itu selain pengeluaran telur.

“Berbanding ternakan ruminan, pengeluaran telur di Selangor memang besar.

“Selain pengeluar kecil dan sederhana, kita ada ladang telur paling besar seperti Selasih dan Lay Hong yang mampu membekal telur dalam kuantiti besar bagi menampung permintaan dalam juga luar negeri,” katanya kepada Selangor Kini.

ayam itikKetika menyentuh pengeluaran ayam dan itik, Dr Akma memberitahu pengeluaran di Selangor mampu membekalkan 73,630 tan metrik pada 2014 dengan keupayaan sara diri mencapai 38.16 peratus.

Beliau berkata, permintaan makanan berasaskan ternakan di Selangor didapati semakin meningkat disebabkan statusnya sebagai negeri maju yang menjadi tumpuan pencari perkerjaan.

“Justeru itu, menjadi keutamaan kami memastikan jaminan bekalan makanan penduduk Selangor sentiasa mencukupi,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Keluaran ternakan halal Selangor meningkat 67%

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 OGOS: Nilai pengeluaran ternakan halal Selangor bagi 2014 terus mencatatkan peningkatan kepada RM1,754 juta berbanding RM1,047 juta, pada 2013.

Peningkatan nilai keluaran 67 peratus bagi 2014 itu diperoleh daripada hasil pengeluaran daging lembu/kerbau (RM20.21 juta), kambing/bebiri (RM2.66 juta), ayam/itik (RM305.6 juta), telur ayam/itik (RM579.16 juta), belulang (RM836.88) dan susu (RM10.28 juta).

KambingData yang dibekalkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) kepada Selangor Kini turut menunjukkan nilai pengeluaran bagi semua sektor terbabit mencatatkan peningkatan dengan pengeluaran belulang mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu RM164.88 juta pada 2013 kepada RM836.88 juta pada 2014.

Sementara itu, data sama turut menunjukkan nilai pengeluaran hasil ternakan halal pada 2011 sebanyak RM673.56 juta dan RM620.02 bagi 2012.

Pengarah DVS Selangor, Dr Akma Ngah Hamid, berkata sektor pengeluaran telur ayam dan itik di Selangor pula sudah mencapai had keperluan sara diri 105 peratus berbanding sektor lain yang masih memerlukan bekalan tambahan luar Selangor.

Beliau berkata, keadaan itu membolehkan telur ayam dan itik yang dikeluarkan di Selangor mampu dieksport ke pasaran luar negara.

“Sebenarnya, dari segi ternakan ruminan kita masih lagi rendah disebabkan kekangan kawasan yang sesuai untuk ternakan kerana semakin terhad disebabkan keperluan pembangunan penempatan.

“Kita sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa untuk mendapatkan tanah yang sesuai.

“Kita juga menekankan kepada penternak bahawa menternak bukan sekadar nak bela sahaja tetapi sumber pendapatan sebab didapati ada penternak yang ternakannya sudah berasak-asak dalam kandang tetapi enggan jual,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Ibu Pejabat DVS Selangor, baru-baru ini.

Katanya, DVS Selangor turut mengambil pelbagai langkah bagi memastikan bekalan makanan berasaskan ternakan halal meningkat.

Antara usaha dijalankan termasukmeningkatkan kawalan penyakit haiwan ternakan.

Dr Akma berkata, DVS turut menggalakkan kesedaran dalam kalangan penternak supaya peka dengan isu penyakit berjangkit yang mampu membantutkan produktiviti masing-masing.

EZY

Categories
SELANGOR

Dua daerah bebas penyakit kuku & mulut

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 OGOS: Industri penternakan di Hulu Selangor dan Sabak Bernam diisytihar sebagai daerah bebas penyakit kuku dan mulut (FMD).

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor, Dr Akma Ngah Hamid berkata, jabatan itu mensasarkan tujuh lagi daerah memperoleh status sama tahun ini.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kerajaan Negeri dan DVS menggubal satu dasar bahawa Malaysia perlu mencapai status bebas beberapa jenis penyakit haiwan jika negara ini, khususnya Selangor ingin mempertahankan industri penternakan pada masa akan datang.

pembentangan pengarah“Lanjutan daripada dasar ini, Program Pengekalan Ladang Bebas Penyakit Haiwan dimulakan pada 2012 dan tumpuan dihalakan terlebih dahulu kepada FMD serta Bruselosis bagi ternakan ruminan serta penyakit sampar atau ‘Newcastle’s Disease’ untuk ternakan unggas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Program Pengekalan Ladang Bebas Penyakit Haiwan di Ibu Pejabat DVS Selangor, di sini, hari ini.

Dr Akma berkata, lima strategi yang digariskan bagi menjayakan sasaran itu adalah dengan mengawal pengimportan ternakan, pemindahan dan penyembelihan ternakan, bersiapsiaga dari segi ubatan dan peralatan dan melaksanakan vaksinasi strategik.

DVS juga menganjurkan kempen kesedaran kepentingan kawalan penyakit seperti seminar yang diadakan hari ini.

Katanya, seminar khusus untuk penternak unggas akan diadakan di Kuala Selangor, pada 12 Ogos ini.

majlis hari raya selepas seminarTerdahulu, lebih 50 peserta seluruh Selangor menghadiri seminar khusus untuk penternakan ruminan hari ini.

Objektif seminar itu diadakan untuk memberi kesedaran dan meningkatkan kefahaman dalam kalangan penternak berkenaan kepentingan mengekalkan zon bebas penyakit haiwan.

Seminar itu turut menerangkan pentingnya tindakan pantas mengawal penyakit yang bermula dengan melaporkan sebarang tanda dengan segera.

-NFN-