Categories
SELANGOR

Jalan tutup di Shah Alam sempena Merdeka bermula 26 Ogos

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 OGOS: Sebahagian jalan di sekitar bandar raya Shah Alam akan ditutup sementara bagi persiapan dan acara raptai penuh perbarisan serta perarakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-58 peringkat negeri.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata hanya dua jalan yang terlibat iaitu sebahagian Jalan Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan) dan Persiaran Damai.

Katanya, semua jalan akan ditutup bermula 26 hingga 30 Ogos ini dan akan dibuka semula selepas upacara raptai serta sambutan penuh selesai dijalankan pada tarikh berkenaan.

MBSA-Shahrin Ahmad“Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya tidak menggunakan Jalan Persiaran Bandaraya dan Persiaran Damai pada tempoh berkenaan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Mereka juga diingatkan sentiasa mematuhi arahan dan memberikan kerjasama dengan menggunakan jalan alternatif untuk ke tempat dituju,” katanya dalam satu kenyataan.

Jalan Persiaran Bandaraya (Dataran Kemerdekaan) akan ditutup sementara pada 26 Ogos ini untuk kerja persiapan pentas bermula dari jam 10.00 pagi sehingga selesai persiapan.

Manakala, pada 28 dan 29 Ogos ini, Jalan Persiaran Bandaraya dan Persiaran Damai akan ditutup mulai jam 5.00 petang untuk acara raptai penuh perarakan dan perbarisan.

Dua jalan itu akan ditutup sepenuhnya pada 30 Ogos ini bermula jam 8.00 pagi sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-58 peringkat negeri.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti di talian 03-55105133 sambungan 1358/1373.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.