Categories
SELANGOR

MB: Garis kemiskinan RM830 tak realistik

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 18 OGOS: Garis kemiskinan kebangsaan pada kadar RM830 sebulan seisi rumah tidak lagi realistik dalam suasana ekonomi semasa terutamanya di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa).

Justeru, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Malaysian Institute of Economic Research (MIER) dalam menentukan garis kemiskinan bersesuaian untuk pendapatan isi rumah di Selangor.

“Kesenjangan pendapatan kaya dan miskin menjadi agenda utama dalam belanjawan Selangor 2015.

MB Azmin“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif bekerjasama dengan MEIR dalam menyediakan data statistik pendapatan isi rumah Selangor sehingga ke peringkat daerah bagi menentukan garis kemiskinan bersesuaian untuk penetapan garis kemiskinan.

“Maklumat tersebut digunakan untuk mengubal program lebih berkesan dalam menangani berkaitan kemiskinan di pelbagai peringkat masyarakat,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan daripada Gan Pei Nei (PKR-Rawang) berhubung pelan tindakan pengurangan jurang pendapatan antara kaya dan miskin di Selangor.

Pada masa ini, Selangor menetapkan garis kemiskinan seisi rumah pada kadar RM1,500 sementara Kerajaan Persekutuan menetapkan garis kemiskinan adalah pada kadar RM830 sebulan seisi rumah manakala miskin tegar pada kadar RM520 seisi rumah.

“Namun, angka ini (RM1,500) masih gagal mengambarkan realiti sebenar antara kemiskinan bandar dan luar bandar.

“Kerjasama dengan MIER selain merangka pelan tindakan dalam merungkai masalah kesenjangan pendapatan sekaligus melonjak pendapatan isi rumah buat golongan menengah dan sederhana di negeri ini,” katanya.

Antara pelan tindakan diambil membabitkan usaha melonjak prestasi pelaburan melalui pelbagai promosi dan penubuhan medium baru dalam membantu golongan kelas menengah meningkatkan potensi mereka.

Kerajaan Negeri juga berhasrat menjadikan Selangor sebagai hub perdagangan antarabangsa menerusi Selangor International Expo 2015 yang dijangka mampu menarik lebih ramai pelabur asing seterusnya mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

Pada bulan hadapan, Kerajaan Negeri bakal melancarkan Selangor Digital Creative Centre (SDCC) selain menubuhkan Majlis Teknologi Informasi dan e-Dagang Selangor sebagai usaha mendokong perdagangan elektornik lebih meluas bertujuan membantu pengusaha berkaitan.

“Golongan menengah juga dibantu menerusi program HIJRAH yang mana Kerajaan Selangor menyediakan dana RM100 juta khusus buat golongan ini menceburi bidang keusahawanan.

“Sehingga 30 Jun, sebanyak 6,951 peserta mendapat manfaat HIJRAH dengan peruntukan dibelanjakan sebanyak RM7 juta,” katanya.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.