Categories
SELANGOR

MB: Jawapan bertulis terperinci DEIG dibentang November

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 19 OGOS: Jawapan bertulis berhubung penubuhan Darul Ehsan Invesment Group (DEIG) secara terperinci kepada Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, badan Berkanun Dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS) pada sidang dewan November depan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), berkata ia bagi menjawab beberapa kekeliruan maklumat dibangkitkan beberapa Adun kerajaan dan pembangkang berhubung entiti baru itu.

“Ramai ahli dewan bangkit membahaskan usul ini menunjukkan minat mereka yang tinggi dalam memastikan apa jua inisiatif dilaksana kerajaan negeri ditadbir urus dengan baik untuk mencapai matlamat asal dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Saya tidak tersinggung teguran itu sebaliknya menyambut baik kerana ia mencerminkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berbeza di peringkat Persekutuan,” katanya ketika sesi pengulungan usul dibawa Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang) di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin mengingatkan ahli dewan untuk lebih bertanggungjawab membentangkan usul bersandarkan fakta dan bukannya skrip dan pengaruh luar.

“Ramai bangkit membentangkan usul memberi gambaran seolah-olah hanya tiga ahli lembaga pengarah sahaja di bawah DEIG dan mula main sentimen di mana semak dan imbang boleh dilaksanakan dalam keadaan ini.

“Sedangkan DEIG dianggotai lima individu membabitkan Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi dan kesemua itu telah dinyatakan secara terang,” katanya.

Mohamed Azmin juga menafikan kenyataan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) yang sebelum ini ketika membahaskan usul mendakwa DEIG memulakan operasinya hanya kerana memanggil Request for Information (RFI) dan Request For Proposal (RFP).

Mohamed Azmin berkata, DEIG belum memulakan operasi dan tidak terlibat dalam mana-mana transaksi.

“RFI dan RFP itu bukan dipanggil oleh DEIG sebaliknya Permerbadanan Menteri Besar (MBI) berdasarkan aset-asetnya tanpa melibatkan DEIG kerana entiti itu hanya mula beroperasi pada awal 2016,” katanya.

Secara umumnya, Mohamed Azmin bersetuju dengan sebahagian besar pendirian ahli dewan yang beranggapan Kerajaan tidak perlu terlibat dalam perniagaan.

Bagaimanapun, dalam sebahagian sektor dan bidang tertentu memerlukan keterlibatan Kerajaan supaya kepentingan rakyat dapat dipelihara.

“Kalau keseluruhannya diserahkan kepada swasta maka kita berdepan masalah mereka hanya memikirkan keuntungan berbanding kepentingan sosial (rakyat).

“Kerajaan perlu jaga aset negeri dalam memastikan projek perumahan mampu milik itu mampu disiapkan bagi kepentingan rakyat berpendapatan rendah.

“Lihat sahaja pengalaman sebelum ini apabila tanah kerajaan diberi milikan atau kerjasama dengan pemaju swasta untuk pembangunan projek, mereka dirikan kediaman bernilai tinggi tanpa rumah kos rendah dan mampu milik,”katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.