Categories
SELANGOR

MB: Pertukaran pegawai SPRM bukti BN tak hormat penjawat awam

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 9 OGOS: Penukaran serta merta dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan sebagai tindakan terdesak dan tidak bertanggungjawab.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata ia juga mencerminkan wajah sebenar kerajaan di bawah Umno Barisan Nasional (BN) yang tidak menghormati kewibawaan penjawat awam untuk berkhidmat secara profesional.

“Tindakan ini jelas menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan panik dan serba tidak kena.

“Kita sama sekali tidak akan membenarkan perkara ini berterusan kerana kewibawaan dan integriti SPRM sedang dicabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangor Kini pada majlis Rumah Terbuka Dun Batu Tiga di Stadium JKR Seksyen 17, di sini semalam.

Jumaat lalu, Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pertukaran serta merta itu menyebabkan pelbagai pihak marah termasuk jemaah menteri.

Pengumuman itu dibuat ketika SPRM berdepan siasatan polis berhubung dakwaan kebocoran maklumat kerajaan.

Pada masa sama, SPRM giat menjalankan siasatan berprofil tinggi membabitkan Perdana Menteri secara langsung.

“SPRM hanya menjalankan peranannya dan agensi itu sewajarnya menjadi badan bebas dalam menyiasat sebarang dakwaan salah laku rasuah yang dilakukan oleh mana-mana pihak.

“Mengapa pula pegawai SPRM giat berkhidmat menjadi buruan dan ditekan sebegitu rupa sedangkan individu yang dituduh melakukan kesalahan besar bebas berkuasa,” katanya.

Timbalan Presiden PKR itu berkata sekirannya insiden sama berterusan, bukan sahaja maruah dan integriti negara tercabar malah memberi kesan buruk kepada ekonomi setelah kepercayaan pelabur asing luntur kepada negara.

Justeru, beliau mengesa semua anggota perkhidmatan awam dan seluruh rakyat untuk bangkit mencari jalan penyelesaian memulihkan ekonomi dan menyelamatkan negara.

“Saya percaya anggota penjawat awam kini dapat melihat bagaimana Umno-Barisan Nasional memperkuda dan langsung tidak menghormati kewibawaan mereka untuk berkhidmat secara profesional,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.