Categories
SELANGOR

MB: Sedia adakan SELCAT penstrukturan air

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri bersedia dan terbuka untuk mengadakan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) dalam isu penstrukturan semula industri air.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menerima keterbukaan itu selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (BEBAS- Pelabuhan Klang) meminta Kerajaan Negeri mengemukakan fakta kenyataan beliau dalam menaikkan tarif air kepada 18 peratus.

MB Azmin“Kerajaan Negeri terbuka untuk adakan SELCAT. Cuma, kita tak boleh menentukan perkara apa yang nak dibincangkan.

“Itu terpulang pada SELCAT,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri (DNS), hari ini.

Mohamed Azmin, berkata Kerajaan Negeri sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk memberikan keterangan.

“Kami mendukung sebarang usaha untuk kebenaran supaya rakyat maklum. Tiada apa yang nak disorokkan,” katanya.

Abdul Khalid sebelum itu bertanyakan pendirian Kerajaan Negeri dalam bayaran syarikat konsesi bagi pengambilalihan industri air yang akan menyebabkan hasil terjejas seterusnya tarif dinaikkan.

Mohamed Azmin kemudian menegaskan rizab negeri bukan untuk penstrukturan air dan hanya digunakan bagi tujuan pembangunan.

Katanya, kenaikan tarif air sebenarnya dikemukakan Abdul Khalid ketika beliau memegang jawatan Menteri Besar.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.