Categories
SELANGOR

Pelaburan RM1.95 bilion, wujud hampir 4,000 pekerjaan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 17 OGOS: Sebanyak 62 projek perkilangan dengan jumlah modal pelaburan bernilai RM1.95 bilion diluluskan Kerajaan Selangor sehingga Mac 2015.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS & Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim, berkata ia merangkumi 45 projek baru dan 17 pengembangan atau pembesaran projek.

Katanya projek itu juga berjaya mewujudkan sebanyak 3,990 peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri itu.

Selangor maju“Selangor berusaha meningkatkan promosi pelaburan di dalam dan luar negara termasuk penyertaan wakil Kerajaan Negeri dalam misi penggalakan pelaburan dan perdagangan anjuran Biotech Corp.

“Kita juga menerbitkan iklan melalui media cetak dan elektronik dalam dan luar negara untuk menarik lebih banyak pelaburan di Selangor,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13 di sini hari ini.

Kenyataan itu adalah bagi menjawab pertanyaan mulut daripada Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali).

Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) berkata Kerajaan Negeri turut mengambil peluang mengadakan pertemuan bersama pelabur sedia ada bagi membantu menyelesaikan isu berbangkit.

Katanya pihak Exco juga sentiasa memantau kemajuan serta membantu mempercepatkan proses kelulusan cadangan projek pelaburan melalui Mesyuarat Penyelarasan Projek.

“Selangor turut aktif menyertai pameran berkaitan pelaburan dalam dan luar negara serta mengadakan mesyuarat berkala untuk menyelesaikan isu infra di kawasan perindustrian bersama pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Setakat ini, jumlah pelaburan asing melebihi RM1.15 juta sementara pelaburan tempatan sebanyak RM797,219.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.