Categories
BERITA UTAMA

Q & A: DEIG ‘platform’ gabung aktiviti pelaburan

Isu Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan Berhad (DEIG) hangat diperkatakan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), baru-baru ini. Ramai mempersoalkan penubuhan syarikat itu. Malah, dikatakan DEIG sebuah syarikat yang ‘disorok’ di bawah Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI). Ikuti temubual eksklusif bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman dan Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin oleh wartawan Norhayati Umor.

Penubuhan DEIG dipersoal dan dipertikaikan, apakah tujuan sebenar DEIG ditubuhkan?

Pertama sekali ingin kami tekankan betapa pentingnya sebuah negeri makmur seperti Selangor untuk memajukan dan memperkasakan syarikat induk pelaburan atau dana kekayaan negeri (SWF) dalam eko-sistem ekonomi tempatan dan global yang semakin mencabar. Dengan adanya entiti korporat sebegini, segala pemilikan aset dan pelaburan dapat dimaksimakan untuk penjanaan pendapatan secara berterusan bagi membangunkan negeri serta rakyat secara amnya.

Sebelum itu, kami kongsikan secara ringkas latar belakang MBI. MBI ditubuhkan pada tahun 1994 berdasarkan Enakmen No 3 Menteri Besar Selangor 1994 bertujuan untuk menjadi pemegang amanah kepada aset dan pelaburan Kerajaan Negeri.

MBI diberi tanggungjawab mentadbir sejumlah aset dan pelaburan yang besar serta berperanan dalam menguruskan program memakmurkan rakyat Selangor.

DEIG IssueBagaimanapun, pada ketika ini MBI tidak pernah memberi pulangan Kerajaan Negeri dalam bentuk dividen kerana mempunyai fungsi bertindih dan tidak dapat memberi fokus kepada aset dan pelaburan. Natijah daripada itu, kita dapat melihat 12 kumpulan anak syarikat serta aset MBI berada dalam keadaan yang “fragmented” dan “disarray”.

Oleh itu, proses rasionalisasi dan konsolidasi anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) perlu dilakukan untuk mencipta nilai yang mampan (sustainable value creation) terhadap aset-asetnya dan memastikan ‘diversification of income’ kepada Kerajaan Negeri. Selepas membuat proses diagnostik dengan melakukan analisa terhadap struktur dan sistem sedia ada, kami merasakan bahawa perlu ada “mental courage” dan anjakan paradigma untuk merealisasikan proses penstrukturan semula ini.

Di samping itu, satu sistem tadbir urus yang kukuh dalam pelaksanaan segala proses yang direncana bagi memastikan aspek ketelusan dan akauntabiliti menjadi keutamaan. Berdasarkan semua faktor ini, DEIG ditubuhkan sebagai sebuah syarikat induk pelaburan yang mempunyai objektif untuk memberi sumbangan signifikan kepada Kerajaan Negeri melalui pengurusan yang lebih mampan dan profesional serta mengikut piawaian pentadbiran korporat di peringkat tertinggi.

Boleh jelaskan masalah MBI sebenarnya sehingga perlu menubuhkan entiti baru?

Pada peringkat awal, kami mendapati MBI mempunyai dua peranan utama iaitu melaksanakan pengurusan program memakmurkan rakyat seperti HIJRAH, YAWAS, Wifi Selangorku dan sebagainya serta pengurusan pelaburan juga aset.

Program memakmurkan rakyat di sini bermaksud menjadi pentadbir untuk program tanggungjawab sosial manakala pengurusan pelaburan pula objektifnya adalah untuk menjadi pemangkin eko-sistem ekonomi yang baik di dalam negeri.

Kedua-dua perkara ini mempunyai perbezaan ketara dari segi objektif dan peranan, justeru itu amat sukar untuk menentukan apakah fungsi sebenar dan ‘Key Performance Index’ atau KPI yang hendak diberikan kepada MBI supaya peranannya lebih jelas dan berkesan.

Akibat daripada pengurusan pelaburan yang longgar serta tidak fokus ini, kami mendapati pelaburan MBI ketika ini tidak menghasilkan sinergi dan strategi kebersamaan demi menjana pulangan maksima kepada Kerajaan Negeri.

Kami melihat perlunya ada fokus dan sistem untuk menilai pencapaian. Apa gunanya organisasi yang besar dengan aset yang banyak tetapi terlalu banyak peranan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan daripada segi objektif utama.

Oleh itu, sebuah entiti baru diperlukan untuk melancarkan proses rasionalisasi dan konsolidasi supaya lebih berkesan tetapi pada masa sama menerapkan nilai-nilai kebertanggungjawaban melalui laporan terus kepada Kerajaan Negeri.

Dakwaan dua pemegang saham dalam syarikat itu?

Pada awal penubuhan, kami berdua ditugaskan sebagai ‘promoter’ (penaja) syarikat untuk tujuan pendaftaran. Dan ini adalah proses biasa untuk menubuhkan syarikat. Apabila siap, kami menukar pemilikan DEIG kepada milik penuh MBI seperti yang dicatatkan dalam Sijil Pemilikan bertarikh 20 Julai 2015.

Proses catitan rekod penukaran milik di peringkat Suruhanjaya Syarikat Malaysia sudah dilakukan dan kami masih menunggu maklum balas daripada pihak mereka.

Hakikatnya, kini DEIG adalah 100 peratus milik penuh MBI.  Atas dasar kebertanggungjawaban juga, oleh kerana DEIG masih dalam proses awal penubuhan serta masih dalam proses menerapkan tadbir urus korporta, maka tiada suntikan dana selain dari RM2 yang dilakukan.

sijil-daftar-DEIGSegala hal ehwal kewangan tidak akan dilaksanakan selagi sistem tadbir urus korporat tidak dipasakkan ke dalam entiti ini. Daripada segi komposisi lembaga pengarah pula, seperti yang tercatit dalam Borang 49 (Borang Lembaga Pengarah) Ahli Lembaga Pengarah ialah Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman.

Mereka adalah wakil kerajaan. Kami berdua wakil pengurusan.

Kami sedia maklum terdapat pihak yang mempersoalkan kehadiran kami berdua dalam lembaga pengarah DEIG serta beberapa anak syarikat lain, justeru ingin kami menjelaskan bahawa kami mempunyai peranan khusus iaitu untuk menjalankan proses diagnostik di peringkat anak syarikat bagi tujuan perancangan strategik di peringkat MBI.

Ini adalah fasa pertama dan apabila proses ‘talent acquisition’ yang terdiri daripada golongan profesional dilakukan, kami akan serapkan mereka ke dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat terbabit.

Dakwaan mengatakan DEIG satu indikator yang bakal berdepan dengan masalah urus tadbir memandangkan entiti ini bebas daripada diaudit?

Ini adalah dakwaan yang tidak berasas. DEIG didaftar mengikut Akta Syarikat 1965 dan adalah milik penuh MBI. Oleh itu sebarang maklumat operasi dan kewangan diperingkat DEIG akan direkod dalam MBI melalui kaedah ‘consolidated account’ atau akaun disatukan.

Dari segi ‘oversight’, akaun DEIG akan diaudit oleh firma terkemuka ‘Big Four’ dan melapor terus kepada Jawatankuasa Audit dan Risiko. Selain itu, ia juga boleh dinilai agensi kerajaan atau Jawatankuasa DNS yang sepatutnya.

MBI kemudian akan membentangkan akaun yang sudah disatukan kepada Kerajaan Negeri dan terbuka untuk audit oleh Jabatan Audit Negara. Kami juga mempunyai perancangan yang kukuh untuk proses pemilihan pelaburan iaitu segala keputusan akan melalui beberapa ‘decision gates’ termasuk Jawatankuasa Eksekutif dan Lembaga Pengarah yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dan wakil sektor swasta. Setiap aset yang dilaburkan mesti melalui kesemua proses ini.

Walaupun rumit, ini penting untuk memastikan keputusan yang dibuat adalah telus dan wajar berdasarkan sistem tadbir urus korporat yang terbaik dan ia harus menjadi keutamaan memandangkan kami memegang amanah rakyat Selangor.

Jika DEIG entiti yang akan menguruskan pelaburan 12 anak syarikat, apakah pula peranan MBI selepas ini? Adakah hasil itu akan dapat dinikmati rakyat?

Seperti yang kita katakan, ketika ini MBI ada dua fungsi iaitu melaksanakan pengurusan program memakmurkan rakyat serta pengurusan pelaburan dan aset.

Selepas penstrukturan semula ini, MBI akan memberi lebih fokus kepada soal kebajikan dan kemakmuran rakyat di Selangor melalui program seperti HIJRAH, Wifi Selangorku, UNISEL dan YAWAS. Peranan MBI akan menjadi lebih jelas dan mudah untuk tujuan penambahbaikan.

Adakah aset milik MBI akan dipindah milik kepada DEIG?

Pelancaran Darul Ehsan Investment Group di SACC MB (7)Secara dasarnya, ketika persidangan baru-baru ini, DNS bersetuju bahawa aset-aset Kerajaan Negeri perlu menjalani proses rasionalisasi dan konsolidasi.

Kami sudah meneliti segala pilihan yang ada untuk menjalankan inisiatif ini dan merumuskan bahawa penubuhan DEIG adalah inisiatif terbaik untuk merealisasikan aspirasi berkenaan. Sebagai syarikat pelaburan induk sudah pasti DEIG akan memiliki aset-aset strategik Kerajaan Negeri.

Pelbagai kaedah sedang diteliti antaranya pertukaran syer, suntikan modal baru dan lain-lain lagi. Namun, semua kaedah ini akan dimuktamadkan di peringkat yang sepatutnya dan kami akan memastikan prosesnya jelas sebelum diteruskan bagi memastikan segala proses dilakukan berlandaskan prinsip ketelusan, akauntabiliti,dan tadbir urus korporat yang terbaik.

Beberapa maklumat telah kita perolehi daripada pihak-pihak berkepentingan untuk diberi pertimbangan sewajarnya.

Apakah jangkaan entiti ini untuk tiga tahun akan datang?

Proses rasionalisasi dan konsolidasi adalah satu ‘journey’ untuk syarikat GLC dan ia tidak berlaku dalam sekelip mata. Insiatif ini memerlukan sokongan dan kefahaman daripada semua ‘stakeholder’ di dalam Kerajaan Negeri dan pihak pengurusan juga harus menetapkan satu sistem tadbir urus korporat yang terbaik.

Pada fasa pertama ini, kami akan melakukan proses diagnostik dan mengumpul data bagi mengenal pasti pasti kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang untuk setiap GLC.

Pada masa sama, kami akan terus mencari modal insan terbaik demi memastikan golongan profesional yang terlatih diberi peluang mengendalikan pengurusan GLC. Dengan adanya modal insan profesional, aspek tadbir urus korporat tinggi akan diterapkan dengan lebih mudah.

Selepas semua ini dilakukan, segala maklumat akan digunakan dalam perancangan strategik yang lebih terperinci untuk setiap GLC. Insya Allah pada penghujung tahun ketiga, kita akan melihat impak awal apabila GLC tidak lagi bergantung kepada dana dan peruntukan kerajaan untuk tujuan operasi, sebaliknya mencipta nilai strategik mampan dan menyumbang secara signifikan kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor secara amnya.

Ingin kami tegaskan, penubuhan syarikat induk pelaburan adalah amat penting bukan saja dalam melancarkan proses rasionaliasasi dan konsolidasi tetapi juga untuk mempelbagaikan pendapatan Kerajaan Negeri selain bergantung kepada sumber ekonomi sedia.

Cabaran dan keadaan ekonomi global yang tidak stabil memerlukan satu langkah drastik dalam memastikan Kerajaan Negeri berupaya menjana pendapatan secara mampan pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.