Categories
SELANGOR

Red Giants tiada masalah dalaman

SHAH ALAM 16 OGOS: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menafikan dakwaan wujud masalah dalam pasukan Liga Super Selangor, kata Pengurus pasukan, Amirudin Shari.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Negeri dan Pertandingan Antarabangsa FAS membuat penafian itu ketika mengulas tindakan sekumpulan penyokong Selangor memasang kain rentang mendesak penyingkiran beberapa individu di dalam pengurusan di samping tindakan mereka membakar suar sejak beberapa perlawanan terdahulu.

“Ini merupakan perkara baharu kepada kami (pengurusan pasukan). Ketika pertama kali kain rentang tersebut dipasang (Selangor bertemu Pahang di Stadium Shah Alam pada 4 Julai 2015), saya menafikan wujudnya sebarang kem di dalam pasukan.

fas_logo“Namun saya tetap bertindak membuat pertemuan susulan dengan semua pegawai pasukan dan pemain. Hasil siasatan dan pemerhatian saya sendiri, nyata tuduhan ini langsung tidak berasas,” kata Amirudin.

Tambah Amirudin, di samping tidak timbul langsung isu pertelingkahan dan wujudnya kem berlainan di dalam pasukan khususnya di antara ketua jurulatih, Mehmet Durakovic dan penolong jurulatih, P Maniam seperti yang diperkatakan, pasukan juga tidak menghadapi masalah dengan pengurusan Persatuan khususnya membabitkan Setiausaha Agung, Rosman Mohd Ibrahim serta Bendahari, Datuk S Sivasundaram.

“Kami mempunyai hubungan yang akrab. Di samping kerap berhubung melalui telefon, hampir setiap minggu saya dan penolong pengurus pasukan (Noor Hisham Mohd Ghouth) mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Persatuan di pejabat di Kelana Jaya.

“Setakat ini saya menerima kerjasama cukup baik dengan pentadbiran FAS, dalam hal gaji sebagai contoh, kerjasama dengan Setiausaha dan Bendahari yang menjalankan tugas dengan baik dapat pastikan gaji semua pemain dan pegawai disalurkan tanpa tunggakkan setiap bulan.

“Setiap isu dan permasalahan pasukan dibincangkan secara bersama. Meskipun begitu, mereka (FAS) tidak langsung campur tangan dalam hal ehwal pasukan. Keputusan melibatkan pasukan sepenuhnya terletak di tangan saya dan ketua jurulatih, Durakovic,” jelas Amirudin.

Ketika ditanya bagaimana boleh timbul spekulasi liar berhubung kewujudan masalah dalaman pasukan, Amirudin beranggapan ia berpunca daripada persepsi pihak tertentu yang mungkin berniat merosakkan semangat berpasukan dan kekeluargaan di dalam pasukan Selangor.

“Kita semua tahu, biarpun tanpa pemain berstatus bintang, pasukan Selangor masih mampu bersaing dengan pasukan yang berbelanja besar kerana semangat kekeluargaan yang tinggi di kalangan pemain.

“Setakat ini pasukan bergerak dengan padu dan mantap namun kurang bernasib baik dalam beberapa perlawanan yang mengakibatkan kita kehilangan mata berharga,” kata Amirudin.

Beliau turut berharap agar penyokong Selangor menghentikan segera tindakan berbentuk provokasi yang tidak mendatangkan manfaat kepada pasukan sebaliknya menyebabkan Persatuan didenda oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sehingga kini, hampir RM150,000 telah dibayar Persatuan kepada badan induk bola sepak negara itu di atas tindakan Ultras Selangor yang membakar suar dan menayangkan kain rentang berbentuk penghinaan.

Persatuan amat menghargai sokongan menakjubkan yang diberi tiap kali Selangor bermain di Shah Alam mahupun di tempat lawan.

Namun tindakan negatif sebegini hanya mendatangkan kerugian kepada pasukan yang bukan sahaja perlu membayar denda tetapi melunaskan ganti-rugi kerosakan terhadap fasiliti stadium.

“Kita berharap para penyokong teguh berdiri di belakang pasukan dan tidak membiarkan unsur tidak berkaitan mengganggu-gugat keharmonian pasukan,” jelas Amirudin.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.