Categories
SELANGOR

SUK, Pegawai Kewangan Negeri turut anggotai Lembaga Pengarah DEIG

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) ditubuhkan bagi mengurus pelaburan strategik, merasionalisasi dan menstruktur semula aset anak syarikat di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), sekali gus membawa syarikat itu ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman, berkata syarikat yang dimiliki sepenuhnya MBI itu dianggotai lima Ahli Lembaga Pengarah termasuk beliau bersama Dato’ Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Ketua Pegawai Operasi MBI.

“Selangor mempunyai banyak aset yang perlu diuruskan secara berhati-hati dan profesional. Kami ingin meningkatkan nilai aset yang ada.

“DEIG milik penuh MBI. Tujuannya untuk rasionalisasi dan menyatukan semua aset MBI,” kata Raja Shahreen pada sidang media di Lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

ME150820LKKw007Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin, pula menjelaskan MBI akan memastikan segala akaun dan aktiviti pelaburan yang bakal dijalankan DEIG dilaporkan kepada Kerajaan Negeri melalui pemerbadanan itu sendiri.

Terdahulu, pada sidang dewan yang berakhir semalam, Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS) bagi DNS berkenaan DEIG diluluskan.

Penyata itu memberi beberapa cadangan bagi penambahbaikan beberapa mekanisma bagi memastikan DEIG menjalankan aktiviti menguruskan aset dan pelaburannya dengan lebih berkesan juga telus.

Soffan berkata, MBI sentiasa terbuka untuk meneliti cadangan yang dikemukakan dalam penyata terbabit.

“Penubuhan DEIG seperti yang dibahaskan di Sidang DNS sejak beberapa hari lalu penting untuk memberi tumpuan kepada proses penstrukturan semula dan majoriti Adun Selangor bersetuju bahawa proses rasionalisasi aset dan anak syarikat adalah langkah tepat,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.