Categories
NASIONAL

Wan Azizah: Lawan BN habis-habisan

Oleh: NAEEM RAFFI

JASIN, 3 OGOS: Semua pimpinan PKR diseru melipat ganda usaha memperjuang keadilan dan nasib rakyat yang kini semakin parah berikutan kegagalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengurus tadbir negara.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata semangat kepedulian tinggi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membela nasib rakyat wajar diteladani semua pimpinan walaupun beliau kini dipenjarakan.

yb  DSWA parlimen“Benar, jasadnya kini dipenjara tetapi kebimbangan dan kepeduliaannya kepada nasib rakyat tidak pernah padam.

“Apakah harga yang wajar dibayar kepada Anwar di dalam penjara selepas sekian lama memperjuangkan hak dan keadilan rakyat.

“Bagaimana pula kita menyambut pengorbanan beliau, adakah untuk jawatan dalam parti? Pesannya kepada semua ahli parti supaya menjaga amanah rakyat untuk keadilan dan kesejahteraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada siri Jelajah Amanat Presiden di Hotel Sri Impian, di sini, semalam.

Menceritakan detik sayu setiap kali bertemu Anwar di Penjara Sungai Buloh, Wan Azizah berkata suaminya itu tidak pernah mengeluh sengsara dikurung sebaliknya sering meminta ahli parti memikirkan masalah rakyat tanpa perlu bimbang berkenaan dirinya.

“Kami sekeluarga hanya dibenarkan melawat pada Syawal kelima itupun hanya lima minit masa diberi. Perbualan kami dipisahkan cermin, selain bermaaf-maafan Anwar masih tanya berkenaan rakyat.

IMG_20150802_180955“Apa yang saya boleh katakan, hargailah masa bersama dengan orang tersayang. Bila berpisah seperti ini, kita akan rasai kehilangannya,” katanya.

Dalam amanatnya itu, Azizah juga menyeru semua pimpinan bersatu hati atas dasar bersama Pakatan untuk menentang BN habis-habisan untuk memberi keadilan sewajarnya kepada rakyat.

“Contohilah kisah Nabi Noh dan bahteranya. Kita perlu bersama dalam satu kapal untuk perjalanan dan tujuan yang sama,” katanya.

Wan Azizah tiba pada jam 5.00 petang semalam sempena Jelajah Amanat Presiden bersama Majlis Pimpinan PKR Melaka.

Ketibaan beliau disambut Pengerusi MPN Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan turut dihadiri Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jeyakumar, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin serta Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.