Categories
SELANGOR

Wujudkan perkampungan sukan layar mampu lahir atlet cemerlang

Oleh: AFIX REDZUAN

BATU LAUT, 2 OGOS: Ketiadaan perkampungan sukan di kawasan Batu Laut menyukarkan Persatuan Perahu Layar Negeri Selangor mengumpulkan peserta secara berkelompok untuk satu kejohanan.

Keadaan itu memaksa mereka berbelanja besar untuk menyediakan penginapan serta pengangkutan apabila ada pasukan perahu layar menyertai kejohanan di Pantai Batu Laut.

REGATTA Perahu Layar 2015 Pulau Batu Laut (2)Selain itu, kekurangan kemudahan ini mengakibatkan beberapa atlet terpaksa berlatih di kawasan lain kerana tidak boleh dikumpulkan secara berpusat.

Kesulitan itu diluahkan Presiden Persatuan Perahu Layar Negeri Selangor, Abdul Aziz Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenalpasti sebidang tanah seluas 10 ekar di kawasan berhampiran yang boleh dijadikan perkampungan sukan.

Namun, tanah berkenaan milik kerajaan.

“Kami telah memohon tanah berkenaan kepada Kerajaan Negeri.

“Kawasan berkenaan berpotensi untuk dibangunkan sebagai perkampungan sukan.

“Jika Kerajaan Negeri berikan kepada kami, Insya-Allah ia mampu dimajukan untuk melahirkan lebih banyak atlet yang hebat.

“Ia juga berpotensi menjadi pusat pelancongan serta membuka peluang untuk persatuan menjana pendapatan secara tidak langsung di masa akan datang,” katanya kepada Selangor Kini.

Jelasnya, pembangunan kemudahan penting kerana mereka terlibat secara serius dalam melahirkan ramai pelayar pelapis untuk Selangor yang turut beraksi hingga peringkat antarabangsa serta mengharumkan nama negara melalui kejayaan dalam kejohanan dunia.

Beliau yang 15 tahun menjadi presiden persatuan itu berkata, Pantai Batu Laut merupakan antara lokasi kejohanan tumpuan peserta kapal layar kerana menawarkan peluang kepada atlet membaiki ranking individu.

Menurutnya, sukan kapal layar tidak menjanjikan hadiah kemenangan lumayan namun berjaya melahirkan atlet mempunyai semangat juang tinggi dalam usaha mengejar ranking terbaik.

Setiap tahun, hampir 14 kejohanan dianjurkan di seluruh negara dan Negeri Selangor merupakan salah satu tuan rumah kejohanan perahu layar sekitar bulan Ogos.

Mengulas mengenai Kejohanan Perahu Layar Regatta yang berlangsung selama tiga hari, sebanyak 13 pasukan menyertai kejohanan kali ini.

Namun jumlah pasukan bertanding berkurangan berbanding penganjuran sebelum ini.

Pasukan jemputan dari Jakarta, Indonesia menyertai kejohanan kali ini.

Sebelum ini, beberapa pasukan daripada Singapura, Hong Kong dan Myanmar turut bersaing dan berlatih di Pantai Batu Laut.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.