Categories
SELANGOR

Air Selangor & PAAB meterai empat perjanjian air

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 8 SEP: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menandatangani empat perjanjian hari ini bagi memenuhi tarikh akhir 60 hari dari majlis menandatangani Perjanjian Tambahan pada 10 Julai lalu.

Ia membabitkan Perjanjian Kemudahan, Perjanjian Pajakan, Perjanjian penyelesaian dan Perjanjian Hak Guna antara PAAB dan Air Selangor selama 45 tahun di bawah Pajakan dan Hak Penggunaan Perjanjian.

MB air MOUMajlis Menandatangani Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air Selangor antara PAAB dan Air Selangor itu berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini dengan disaksikan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Air Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shuhaimi Kamaralzaman dan PAAB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

Bercakap pada sidang media, Mohamed Azmin berkata, pementeraian itu memudahkan penyiapan Perjanjian Induk dan pelepasan RM2 bilion daripada PAAB kepada Air Selangor sebagai pembiayaan mengambil alih empat konsesi air terlibat.

“Sebagai pertukaran, Air Selangor akan memindahkan sehingga RM2 bilion nilai aset air kepada PAAB yang kemudiannya disewakan kepada Air Selangor.

“Di samping itu, Air Selangor akan diberi Lesen Individu Kemudahan dan Perkhidmatan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) yang membolehkan ia memiliki aset air seterusnya mengendalikan perkhidmatan bekalan air secara holistik di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Maximus merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Selangor diatas kerjasama memberi semua kelulusan yang diperlukan bagi membolehkan PAAB meneruskan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya.

“Besar harapan KeTTHA agar Kerajaan Selangor dapat memastikan Air Selangor melaksanakan tanggungjawabnya sebagai operator perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehabis baik bagi memenuhi harapan tinggi rakyat yang menuntut perkhidmatan cekap.

“Walaupun mengalami kelewatan dan dijangka hanya dapat beroperasi sepenuhnya pada 2019, langkah panjang ini dijangka membantu memastikan kelangsungan bekalan air kepada pengguna,”katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.