Categories
SELANGOR

MB: Ambil alih Syabas, Puncak Niaga berkuatkuasa Oktober

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM 8 SEP: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bakal muncul sebagai syarikat baharu penyedia perkhidmatan bekalan air kepada Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, bermula Mac 2016.

Perkara itu diumumkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali selepas Air Selangor berjaya mengambilalih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB).

“Bermula 1 Oktober ini, Air Selangor dijangka mengambilalih Syabas dan PNSB, namun keduanya akan terus menyediakan perkhidmatan bekalan air yang cekap kepada pengguna.

MB air MOU“Semua usaha itu akan memberi tumpuan ke arah meningkatkan lagi perkhidmatan rawatan air, sistem pengedaran, pengurangan air tidak terhasil (NRW) dan bekalan air yang berterusan dan mencukupi kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air Selangor antara Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Air Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini.

Kerajaan Negeri dan Persekutuan berjaya memuktamadkan empat perjanjian membabitkan Perjanjian Kemudahan, Pajakan, Penyelesaian dan Hak Guna antara PAAB dan Air Selangor selama 45 tahun di bawah Pajakan dan Hak Penggunaan Perjanjian, sekali gus memenuhi tarikh akhir 60 hari daripada majlis menandatangani perjanjian tambahan, pada 10 Julai lalu.

Hadir sama , Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Pengerusi PAAB, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Maximus berkata, Air Selangor sudah dianugerahkan Lesen Individu (Kemudahan) dan Lesen Individu (Perkhidmatan) di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) yang membolehkan entiti itu memiliki aset air selain mengendalikan perkhidmatan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Bagaimanapun, lesen itu mula berkuat kuasa pada 22 Februari 2016 bagi membolehkan semua perjanjian kemudahan disempurnakan.

“Air Selangor dan PAAB diberi tempoh lima bulan untuk menyempurnakan semua perjanjian termasuk meminda Perjanjian Konsesi Syabas dan menamatkan perjanjian konsesi berkaitan PNSB serta konsortium Abass,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.