Categories
SELANGOR

Cup Prix: Orang Asal Selangor juara lagi, hampiri kejuaraan 2015

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 SEP: Walaupun tercicir dua perlumbaan sebelum ini, pelumba OA Racing Team, Azrul Affendi Hadi berjaya mengukuhkan kedudukan selepas menjuarai pusingan ke-6 Kejuaraan Petronas AAM Cup Prix 2015 yang berlangsung di Kangar, Perlis pada 15-16 Ogos lalu.

Beliau yang beraksi dalam kategori Pro-Am ketika ini berjaya mengumpul 88 mata dengan hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu keseluruhan, Yusof Omar.

Pengurus OA Racing Team, Hadi Anak Jembik berkata, kemenangan itu memberi suntikan semangat kepada Azrul untuk meneruskan rentak kemenangan dengan baki empat pusingan.

Cup Prix“Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut setelah menang pada pusingan pertama.

” Sekiranya kekal konsisten, saya yakin kami mampu bergelar juara keseluruhan tahun ini. Saya percaya Azrul boleh melakukannya,” kata Hadi kepada Selangor Kini hari ini.

Terdahulu, pada pusingan ke-6 Malaysia Cup Prix menyaksikan Azrul berjaya menduduki petak pertama pada perlumbaan saringan dan perlumbaan akhir selepas mencatatkan masa sepusingan terpantas.

Pada perlumbaan akhir, Azrul mencatatkan masa 7 minit 53.9 saat meninggalkan jauh pelumba di tempat kedua, Md Faiz Azmi dengan 5.821 saat di belakang.

Azrul yang menunggang jentera nombor 19 turut menjuarai pusingan pertama di Temerloh, Pahang dan pusingan ke-5 yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka.

OA Racing Team merupakan sebuah pasukan yang dianggotai Orang Asal Selangor dan berpangkalan di Kampung Bukit Tadom, Banting.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.