Categories
SELANGOR

Perlumba muda Orang Asal terima tajaan RM30,000

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 30 MAC : Pasukan OA Racing Team bagi siri perlumbaaan Kejuaraan Club Prix AAM Malaysia boleh menarik nafas lega selepas pasukan itu menerima tajaan berjumlah RM30,000.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Mohd Faris, berkata pihaknya sudi memberikan penajaan ekoran prestasi cemerlang ditunjukkan pelumba muda Orang Asal pasukan itu, Azrul Affendi Hadi, 20.

OA Racing Azrul“Kita melihat bakat muda anak Orang Asal ini yang menunjukkan prestasi cemerlang selepas mencatatkan beberapa kemenangan tetapi memerlukan bantuan.

“Jadi kita bersedia untuk membiayai perbelanjaan melalui penajaan kewangan sebanyak RM30,000 untuk kelengkapan perlumbaan seperti alat-alat ganti motor dan pakaian,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, tajaan itu juga diberikan atas faktor keprihatinan pihaknya terhadap kebajikan masyarakat setempat di kawasan operasi syarikat itu.

KSSB“Di tempat operasi kita di Labuhan Dagang sekitar kawasan Kuala Langat ada kawasan perkampungan Orang Asal yang mana kita juga selalu berurusan dengan Tok Batin kampung itu.

“Kemudian kita dapat tahu anak Tok Batin kampung itu terlibat dengan sukan permotoran dan selalu menang tetapi perlukan bantuan.

“Isu penajaan bantuan itu pula pernah disiarkan SelangorKini jadi waktu itu kita terus uruskan semuanya dari segi penajaan,” katanya.

Majlis Penyerahan sumbangan diadakan di Pejabat Kumpulan Semesta, Bangunan Darul Ehsan, hari ini.

Azrul Affendi sebelum ini berjaya menunjukkan prestasi membanggakan dalam beberapa siri perlumbaan tetapi menghadapi isu tajaan hingga membantutkan usaha memajukan dirinya.

Antara kejuaraan yang pernah diraih perlumba muda itu, juara kategori keseluruhan Pro-Am tahun lalu, sebelum berpindah ke kategori CP115 musim ini mewakili pasukan M Seki Leberty Honda.

-nR-

Categories
SELANGOR

Rayu penaja, Team Orang Asal Selangor idam aksi di Asia Road Racing

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 SEP: Impian OA Racing Team meneruskan penyertaan di peringkat lebih tinggi selepas menjuarai tiga pusingan di Petronas AAM Cup Prix 2015, mungkin sukar apabila pasukan itu gagal mendapatkan penajaan.

Pengurusnya, Hadi Anak Jembik berkata, sehingga kini pihaknya masih bergelut mencari penaja bagi membiayai kos pembelian, modifikasi jentera perlumbaan dan lain-lain kos bagi menyertai perlumbaan Asia Road Racing yang masih berbaki dua pusingan.

“Sejak 2013 kami sudah 12 kali naik podium dengan enam kali sebagai juara tetapi masih tidak ada penaja yang tampil membantu kami.

“Saya harap ada pihak swasta atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tampil menaja,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.

OA Racing AzrulDalam Kejuaraan Petronas AAM Cup Prix 2015, OA Racing Team tercicir dua perlumbaan disebabkan kekurangan sumber kewangan bagi menampung kos perlumbaan.

Namun, jentera OA Racing Team yang dikemudi Azrul Affendi Hadi mampu menduduki tempat kedua dengan hanya empat mata di belakang pendahulu apabila menjuarai pusingan di Temerloh, Melaka dan Perlis.

Prestasi cemerlang di Petronas AAM Cup Prix 2015 menyuntik semangat besar buat pasukan dari Kampung Bukit Tadom, Banting itu menyertai Kejuaraan FIM Asia Road Racing Championship dan Malaysia Super Series.

“OA Racing Team juga mensasarkan untuk menyertai sama ada perlumbaan 250cc atau kategori underbone pada Asia Road Racing dan Malaysia Super Series akan datang,” katanya.

FIM Asia Road Racing Championship merupakan kejohanan lumba motorsikal paling berpristij di peringkat Asia yang dilangsungkan sebanyak enam pusingan di Litar Sepang Malaysia; Sentul, Indonesia; Suzuka, Jepun; Buriram, Thailand dan Losail, Qatar.

Asia Road Racing Championship yang masih berbaki dua pusingan akan dilangsungkan di litar Losail, Qatar pada 30 September hingga 3 Oktober dan litar Buriram, Thailand pada 3 hingga 6 Disember depan.

-NR-

Categories
SELANGOR

Cup Prix: Orang Asal Selangor juara lagi, hampiri kejuaraan 2015

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 SEP: Walaupun tercicir dua perlumbaan sebelum ini, pelumba OA Racing Team, Azrul Affendi Hadi berjaya mengukuhkan kedudukan selepas menjuarai pusingan ke-6 Kejuaraan Petronas AAM Cup Prix 2015 yang berlangsung di Kangar, Perlis pada 15-16 Ogos lalu.

Beliau yang beraksi dalam kategori Pro-Am ketika ini berjaya mengumpul 88 mata dengan hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu keseluruhan, Yusof Omar.

Pengurus OA Racing Team, Hadi Anak Jembik berkata, kemenangan itu memberi suntikan semangat kepada Azrul untuk meneruskan rentak kemenangan dengan baki empat pusingan.

Cup Prix“Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut setelah menang pada pusingan pertama.

” Sekiranya kekal konsisten, saya yakin kami mampu bergelar juara keseluruhan tahun ini. Saya percaya Azrul boleh melakukannya,” kata Hadi kepada Selangor Kini hari ini.

Terdahulu, pada pusingan ke-6 Malaysia Cup Prix menyaksikan Azrul berjaya menduduki petak pertama pada perlumbaan saringan dan perlumbaan akhir selepas mencatatkan masa sepusingan terpantas.

Pada perlumbaan akhir, Azrul mencatatkan masa 7 minit 53.9 saat meninggalkan jauh pelumba di tempat kedua, Md Faiz Azmi dengan 5.821 saat di belakang.

Azrul yang menunggang jentera nombor 19 turut menjuarai pusingan pertama di Temerloh, Pahang dan pusingan ke-5 yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka.

OA Racing Team merupakan sebuah pasukan yang dianggotai Orang Asal Selangor dan berpangkalan di Kampung Bukit Tadom, Banting.

-NR-