Categories
SELANGOR

Guna insinerator perlu kajian & pertimbangan, elak beban rakyat

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 30 SEP: Kerajaan Negeri disaran mempertimbangkan cadangan pelaksanaan sistem insinerator atau ‘waste to energy’ sebelum dimuktamadkan dalam Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035.

Adun Bukit Gasing, R Rajiv, berkata pelaksanaannya dilihat kurang wajar pada masa kini kerana membabitkan kos tinggi yang mendatangkan beban kepada Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Diharap Kerajaan Negeri menangguhkan cadangan ini dalam pelan hala tuju Selangor sehingga ia dikaji apa faktor kebaikannya terhadap ‘cost-benefit analysis’.

yb rajiv 3“Ini kerana penggunaan insinerator di negara jiran membabitkan kos sangat mahal yang mana PBT tidak mampu menyalurkan sampah atau sisa pepejal ke kawasan insinerator,” katanya dalam sidang media di lobi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga tidak perlu tergesa-gesa ekoran tapak pelupusan sampah di Bukit Tagar luas dan mampu bertahan hingga 50 ke 100 tahun akan datang.

Apa yang penting, katanya, pelaksanaan kaedah itu perlukan kajian mendalam berhubung cara mengurus serta lokasi strategik untuk pembinaan selain impaknya kepada pencemaran alam sekitar.

“Sebagai alternatif, kita perlu memperbanyakkan Kemudahan Pengasingan Material (MRF) yang mana ia bertindak seperti kilang memproses sampah dan bahan buangan.

“Ia menarik keluar semua bahan yang boleh dikitar semula dengan mengasingkan bahan dari dalam semua sampah di tapak pelupusan.

“Kosnya lebih rendah dan sekiranya pengurusan dibuat secara baik maka kita tidak perlu membayar apa-apa,” katanya.

Begitupun Rajiv yang hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Pendengaran RSN 2035 di sini, memuji langkah Kerajaan Negeri yang menggariskan deraf pembangunan negeri dalam tempoh 20 tahun itu.

“Tahniah kerana ia langkah yang wajar dibuat untuk negeri kerana kita mempunyai pelan pembangunan baik.

“Ia merangkumim tiga teras utama iaitu wilayah bandar berkembang maju, wilayah bandar mampan dan wilayah bandar makmur,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.