Categories
NASIONAL

Kian Ming tak puas hati siasatan insinerator

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 18 NOV – Penganugerahan projek mini insinerator di negara ini yang didakwa tidak mengalami salah laku terus dipertikai Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata, kenyataan itu tidak boleh diterima memandangkan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tahun lalu mengesahkan berlaku kecuaian dalam perkara berkenaan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan seharusnya bersikap akauntabiliti dan memberi jawapan kukuh jika benar projek itu mematuhi prosedur tepat.

“Jawapan ini tidak boleh diterima kerana apabila PAC mendapati ada kesalahan dan kecuaian daripada segi penganugerahan, maka pihak kerajaan perlu memberi jawapan.

“Cadangan tindakan yang boleh diambil adalah pihak yang memberi kontrak projek itu perlu disiasat kesalahan mereka atau jika berlaku salah guna kuasa, maka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang mengatakan siasatan dakwaan salah urus projek insinerator di negara ini ditutup ekoran siasatan mendapati tiada kes.

Ong Kian Ming 01Terdahulu, Kian Ming meminta Perdana Menteri menyatakan maklumat terkini status siasatan SPRM ke dalam penanugerahan projek mini insinerator di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi, Cameron Highlands dan Pulau Tioman.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung perkara itu pada Mac lalu selepas kumpulan Anti Insinerator Kebangsaan (GAIK) membuat laporan polis kemungkinan terdapat unsur rasuah dalam projek insinerator yang dianugerahkan kerajaan.

PAC sebelum ini mendapati Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menganugerahkan empat projek pembinaan insinerator kepada syarikat CXN Technology Sdn Bhd (XCNT) tanpa usaha wajar sehingga menyebabkan kelewatan dan ketidakcekapan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Guna insinerator perlu kajian & pertimbangan, elak beban rakyat

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 30 SEP: Kerajaan Negeri disaran mempertimbangkan cadangan pelaksanaan sistem insinerator atau ‘waste to energy’ sebelum dimuktamadkan dalam Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035.

Adun Bukit Gasing, R Rajiv, berkata pelaksanaannya dilihat kurang wajar pada masa kini kerana membabitkan kos tinggi yang mendatangkan beban kepada Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Diharap Kerajaan Negeri menangguhkan cadangan ini dalam pelan hala tuju Selangor sehingga ia dikaji apa faktor kebaikannya terhadap ‘cost-benefit analysis’.

yb rajiv 3“Ini kerana penggunaan insinerator di negara jiran membabitkan kos sangat mahal yang mana PBT tidak mampu menyalurkan sampah atau sisa pepejal ke kawasan insinerator,” katanya dalam sidang media di lobi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga tidak perlu tergesa-gesa ekoran tapak pelupusan sampah di Bukit Tagar luas dan mampu bertahan hingga 50 ke 100 tahun akan datang.

Apa yang penting, katanya, pelaksanaan kaedah itu perlukan kajian mendalam berhubung cara mengurus serta lokasi strategik untuk pembinaan selain impaknya kepada pencemaran alam sekitar.

“Sebagai alternatif, kita perlu memperbanyakkan Kemudahan Pengasingan Material (MRF) yang mana ia bertindak seperti kilang memproses sampah dan bahan buangan.

“Ia menarik keluar semua bahan yang boleh dikitar semula dengan mengasingkan bahan dari dalam semua sampah di tapak pelupusan.

“Kosnya lebih rendah dan sekiranya pengurusan dibuat secara baik maka kita tidak perlu membayar apa-apa,” katanya.

Begitupun Rajiv yang hadir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Pendengaran RSN 2035 di sini, memuji langkah Kerajaan Negeri yang menggariskan deraf pembangunan negeri dalam tempoh 20 tahun itu.

“Tahniah kerana ia langkah yang wajar dibuat untuk negeri kerana kita mempunyai pelan pembangunan baik.

“Ia merangkumim tiga teras utama iaitu wilayah bandar berkembang maju, wilayah bandar mampan dan wilayah bandar makmur,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor belum putus guna insinerator

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 SEP : Selangor belum memutuskan penggunaan insinerator bagi mengantikan kepada kaedah penimbusan untuk pelupusan sampah.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, sebaliknya berkata ia bergantung kepada perbincangan dengan semua pihak untuk menilai pilihan lain yang ada.

azmin-pc-DNS-01“Kita perlu dengar pandangan semua pihak dan komited memastikan isu sampah ditangani secara bijak.

“Setakat ini belum ada keputusan (menggunakan insinerator) kerana ia bergantung kepada perbincangan dan pilihan untuk dilihat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar ‘Beyond 3R : A More Sustainable Solution For Selangor Waste Management’ di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), semalam.

Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri bertekad menjadikan Selangor sebagai negeri bersih, di samping memiliki pengurusan sisa pepejal yang efektif.

Katanya, cabaran terbesar hari ini adalah untuk memberi didikan kepada masyarakat untuk bersama memikul tanggungjawab menjaga kebersihan.

Seminar Beyond 3R SACC Elizabeth Wong dan MB (3)“Apa yang lebih mencabar adalah bagaimana untuk mengurus pencipta sampah kerana ia wujud disebabkan ada orang yang membuang sampah.

“Undang-undang sahaja tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah, namun manusia itu perlu dibina melalui pendidikan dan kesedaran bahawa kebersihan adalah penting dan tanggungjawab bersama,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran seminar itu, beliau menyifatkan ia sebagai mencetuskan anjakan paradgima dalam usaha mencari penyelesaian holistik dan mampan mengenai sisa pepejal.

Katanya, kesedaran sivik perlu ditanam di dalam jiwa masyarakat untuk memastikan amalan pengurusan sampah secara teratur dapat dituruti.

“Jika elemen itu berjaya diterapkan, maka rakyat mempunyai motivasi untuk mengurus serta mengurangkan penghasilan sampah,” katanya.

-NR-

Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat patut perjelas syarikat tiada pengalaman dapat 4 projek insinerator RM153.74 juta

Oleh: Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 23 DIS: Sebuah syarikat yang tidak memiliki pengalaman didakwa dianugerahkan empat projek insinerator bernilai RM153.74 juta dikuasai oleh seorang bekas Panglima Tentera Laut dan keluarganya.

Ong Kian Ming 01Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata empat projek tersebut adalah di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan Cameron Highlands diberikan kepada Syarikat XCN Technology Sdn Bhd (XCNT) yang dimiliki oleh Tan Sri Abdul Wahab Nawi.

“Mengapakah syarikat yang tiada pengalaman diberikan projek ini secara rundingan terus?

“Malah, syarikat XCNT ini juga tidak mempunyai rekod baik dan lewat dalam menyiapkan projek,” katanya dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata Laporan Audit Negara 2012 turut mendedahkan XCNT gagal menyiapkan projek di Tioman sehingga tempoh akhir 6 Mei 2013, yang sudah hampir masuk 1,000 hari lewat sejak projek tersebut diberikan pada Ogos 2007 lalu.

Insinerator

 

Daripada Laporan Audit Negara 2012, XCNT memperoleh projek di Langkawi dan Pangkor pada 2007, dua lagi projek di Tioman dan Cameron Highlands pula diperoleh selepas Syarikat Sumur Mutirara Sdn Bhd memindahkan projek tersebut kepada mereka.

Beliau turut menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan agar memberikan penjelasan penuh berkenaan isu itu segera.

EZY

Categories
NASIONAL

Megawalk 2.0: Kuala Lumpur – Putrajaya, 23-24 Feb bantah Insinerator

SHAH ALAM 23 DIS: Jawatankuasa Bertindak Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI) mengumumkan akan menganjurkan Megawalk 2.0 pada 23 dan 24 Februari 2014 program berjalan kaki dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

KTI dalam satu kenyataan berkata, memandangkan memorandum yang dihantar oleh KTI ke Parlimen dan DBKL tidak disampaikan kepada Perdana Menteri, KTI memutus menganjurkan Mega Walk 2.0.

tak nakKatanya, pada 23 Februari 2014, KTI akan mengadakan Mega Perhimpunan 2.0 dan bermula jalan pada pagi ke Putrajaya.

KTI menjangka perjalanan ini sepanjang 45 km dan akan sampai ke Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, pada 24hb Februari 2014. Seterusnya, KTI akan menyerah Memorandum Tak Nak Insinerator 2.0 kepada Perdana Menteri.

“Sehubung dengan itu KTI ingin mengadakan ceramah-ceramah kesedaran terhadap 3R dan insinerator di kawasan Selayang, Batu, Kepong dan Segambut sepanjang bulan Disember 2013 hingga Februari 2014.

“Maka, KTI memanjangkan jemputan kepada wakil rakyat kawasan tersebut bekerjasama menjayakan ceramah tersebut,” katanya.

Selain itu, KTI berkata pembinaan loji pembakar sampah (insinerator) mendatangkan kesan buruk berbanding dengan loji  pelupusan sampah (landfill).

Katanya,Insinerator Taman Beringin yang berkapasiti membakar 1,000 ton sampah sehari akan menghasilkan 250 ton baki habuk yang akhirnya perlu juga dihantar ke Loji Pelupusan Sampah Bukit Tagar.

Oleh itu, kos operasi insinerator terdiri daripada kos pembakaran dan kos penghantaran baki habuk ke Bukit Tagar.

“Berbanding dengan pengurusan sampah sekarang yang melibat loji pelupusan sampah Bukit Tagar sahaha, insinerator akan menambahkan lagi kos pengurusan sampah.

“Kiraan KTI ialah jumlah kos pengurusan melibat loji pelupusan sahaja ialah RM112.2 juta, penglibatan insinerator ialah RM137.6 juta. Pendek kata ialah kos pengurusan insinerator lebih mahal RM25.4 juta daripada pengurusan sekarang,” katanya.

Katanya, KTI difahamkan kapasiti maksimum Bukit Tagar boleh menampung 120 juta ton sampah. Sehingga hari ini, loji ini dipenuh dengan 1.4 juta ton sampah, masih ada 116 juta ton kapasiti kosong.

Mengikut kadar penghasilan warga-warga Kuala Lumpur sehari 2,500 ton, setahun adalah 912,500 ton. Ini bermakna loji pelupusan tersebut masih boleh beroperasi 120 tahun lagi untuk memenuhkan 116 juta ton kapasiti kosong itu.

“Maka tidak ada keperluan untuk membina insinerator yang mahal itu lagi,” katanya.