Categories
SELANGOR

Hantar lepasan SPM ke YES tingkat kemahiran

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 SEP: Ibu bapa digalakkan menghantar anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai program Youth Enhancement Strategy (YES) kendalian Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) bagi melahirkan lebih banyak bakat baru dalam sektor perindustrian berkemahiran tinggi.

Pengarah Eksekutif SHRDC, Tan Beng Teong, berkata latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) penting untuk memacu negara mencapai status maju dan Selangor selaku pemain industri utama perlu kehadapan dan memperkasakan sistem ini.

“Kita seharusnya membangunkan tenaga kerja yang sudah bekerja atau bakal memasuki pasaran kerja dengan kemahiran serta kebolehan yang diperlukan industri berimpak tinggi.

SHRDC-Logo(1)“SHRDC berharap ibu bapa mempertimbangkan TVET sebagai satu pilihan untuk anak-anak mereka dalam membangunkan tenaga kerja berdaya saing.

“Pada hari ini dan seterusnya, tenaga kerja yang berdaya saing mempunyai peluang yang sama atau mungkin lebih serta mampu menyayingi graduan lepasan akademik,” katanya.

Jelasnya, memiliki ijazah atau sijil akademik yang tinggi bukan satu jaminan untuk menerima pendapatan besar pada masa kini.

“Saya bagi contoh seorang tukang paip mahir. Dia datang kalau tiada kerja caj RM50. Kalau selesai kerja baik pulih dia boleh jana hampir RM200 hingga RM300 sehari,” katanya.

Menerusi program YES, SHRDC menyediakan program kursus teknologi pembuatan plastik dengan syarat kelayakan warganegara Malaysia berumur tidak melebihi 24 tahun dan lepasan SPM (minimum lulus tiga mata pelajaran).

Tempoh latihan berlangsung selama enam bulan merangkumi tiga bulan latihan formal (kelas dan makmal) dan tiga bulan latihan sambil bekerja (OJT) dengan persijilan Certificate II in Engineering dari Box Hill TAFE, Australia.

Ibu bapa yang berminat boleh menghubungi SHRDC di talian 03-5513 3560 atau melayari laman sesawang www.shrdc.org.my.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.