Categories
SELANGOR

Kejohanan Skuasy Selangor cungkil bakat baru

SHAH ALAM, 24 SEP: Seramai 216 peserta remaja berusia antara sembilan hingga 19 tahun akan berentap bagi merebut pingat dalam Kejohanan Skuasy Tertutup Selangor 2015.

Presiden Persatuan Skuasy Selangor, Farid Yunus, berkata kejohanan yang berlangsung pada 22 hingga 26 September ini mampu menjadi landasan mencungkil bakat baru dalam sukan itu.

Katanya, sambutan terhadap acara itu juga memberangsangkan berbanding tahun lalu yang hanya disertai 166 peserta.

237A9466“Kejohanan itu adalah pentas bagi pemain mempamerkan kebolehan dan kemahiran masing-masing. Pemain yang berjaya menjuarai kejohanan kali ini berpeluang mewakili Selangor ke kejohanan sirkit kebangsaan dan Sukan Malaysia (SUKMA).

“Kami juga berhasrat melahirkan jaguh skuasy bertaraf dunia seperti Datuk Nicole David,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, enam kategori dipertandingkan iaitu bawah sembilan, 11, 13, 15, 17 dan 19 tahun.

Katanya, antara pemain yang dijangka mencuri perhatian adalah Muhammad Harris Ramlee, 14, yang pernah menjuarai beberapa kejohanan peringkat antarabangsa seperti Terbuka Australia, Terbuka Jepun dan Terbuka Borneo.

237A9435“Juara akan menerima pingat, wang tunai RM1,000 dan barangan tajaan, sementara naib johan akan menerima pingat, wang tunai RM350 dan barang tajaan, manakala tempat ketiga menerima pingat dan wang tunai RM150,” katanya.

Acara itu turut mendapat tajaan bernilai RM36,428 daripada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor).

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.