Categories
SELANGOR

Keluarga berharap jemaah haji hilang ditemui

Oleh: AFIX REDZUAN

BUKIT ANTARABANGSA, 13 SEP: Keluarga Zainun Taha, 69, salah seorang jemaah haji Malaysia yang masih hilang berharap beliau ditemui dalam keadaan selamat meskipun sudah masuk hari kedua pencarian.

Anak beliau, Kamarul Idzuan Abu Bakar, 46, mengakui bimbang mengenang nasib ibu tersayang yang baru sahaja tiba di Makkah, Khamis lalu bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.

Menurut beliau, Zainun berada dalam keadaan sihat ketika berangkat dari Malaysia selepas lama menunggu giliran ke Tanah Suci.

Jemaah Haji“Emak saya memang dah lama menyimpan impian untuk mengerjakan haji.

“Pada 2012 dia harap dapat giliran ke sana tapi belum masanya. Beliau sekadar mengerjakan Umrah ketika bulan Ramadan.

“Alhamdulillah tahun ini beliau terpilih dan kami sekeluarga menghantarnya tempoh hari,” katanya ketika menceritakan detik-detik sebelum ibunya berangkat di Tanah Suci.

Menurutnya, Zainun ke Tanah Suci bersama adik ipar, Faridah Mansor, 63 yang turut cedera dan mengalami patah pergelangan kaki ketika insiden runtuhan Masjidil Haram.

Beliau cuba menghubungi telefon bimbit ibunya sejurus mendapat perkhabaran insiden yang mengorbankan lebih 100 orang jemaah serta dimaklumkan Tabung Haji namun panggilan tidak dijawab.

Beliau yang juga anak sulung daripada empat orang adik beradik percaya gambaran sebenar mengenai ibunya semasa kejadian dapat diperolehi menerusi Faridah yang sentiasa bersama sepanjang berada di sana.

Mereka turut menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali terharu dengan sokongan dan bantuan diberikan Kerajaan Negeri ketika berhadapan saat sukar sebegini.

“Kami sekeluarga berterima kasih di atas keperihatinan MB yang bersedia menaja pemergian waris ke Tanah Suci jika mendapat kebenaran kerajaan Arab Saudi.

“Kami berharap segala urusan dimudahkan Allah dan semua yang terlibat selamat,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.