Categories
NASIONAL

Kuning haram, merah halal dedah sikap polis

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 18 SEP: Sikap dwi-standard polis mengharamkan perhimpunan Bersih 4 walaupun selaras dengan perlembagaan diselar Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata sedangkan perhimpunan Himpunan Rakyat Bersatu atau Baju Merah tanpa objektif jelas mendapat restu dan kebenaran pihak berkuasa.

Lebih menjelekkan, Mohamed Azmin berkata perhimpunan yang turut dihadiri pimpinan Umno itu dipenuhi provokatif perkauman dan agama yang sempit.

IMG_6555“Perhimpunan itu terbukti berlaku insiden-insiden yang tidak diingini dan boleh mencetus ketegangan kaum dan agama.

“Berbeza dengan Bersih 4 yang bukan sahaja jelas matlamat tetapi berlangsung dengan penuh aman, tenteram dan disiplin.

“Tetapi mengapa polis tidak profesional dengan mengharamkan kuning dan halalkan merah,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau diminta hadir di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi bagi memberi keterangan berhubung penglibatannya dalam Bersih 4 pada hujung bulan lalu.

Beliau turut disiasat berhubung kenyataannya dalam sebuah ceramah ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh sebelum ini kononnya menggelar Ketua Polis Negara sebagai barua.

Timbalan Presiden PKR juga berkata tekanan polis itu tidak akan melemahkan semangat Pakatan Rakyat (Pakatan) membela nasib rakyat.

“Kita akan terus berjuang untuk menyuburkan demokrasi dalam usaha selamatkan negara dan ekonomi.

“Rakyat juga tidak perlu gentar dengan segala tekanan dan ugutan yang dikenakan serta terus bersama bagi membuat perubahan,” tegasnya.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.