Categories
SELANGOR

Maahad Tahfiz daif dapat suntikan pemodenan tahun depan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 26 SEP: Maahad Tahfiz yang berada dikondisi daif dan serba kekurangan akan diberi wajah baru dengan kerja baik pulih dan penambahan blok-blok baru menjelang 2016.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, rancangan pemodenan institusi itu termasuk dalam Belanjawan Selangor 2016 yang akan dibentangkan nanti.

MB Azmin“Apakah ini imej Islam? Bagaimana kita nak menyakinkan masyarakat di luar sana kalau pembangunan Maahad Tahfiz ini tidak dapat diurus dengan baik sedangkan permintaannya cukup besar?

“Maka, menjadi hasrat kita untuk melihat institusi ini bukan sahaja dibaiki, malah dinaik taraf dengan blok baru lengkap dengan kemudahan makmal, dewan kuliah dan asrama untuk anak kita teruskan pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Qurban Perdana Dato’ Menteri Besar di Daerah Sabak Bernam di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Pekan Sabak di sini, semalam.

Katanya, langkah memperkasa institusi pengajian agama itu bukan sahaja bertujuan melahirkan graduan teguh pegangan agama, bahkan celik sains dan teknologi.

“Generasi yang mampu menguasai ilmu duniawi dengan bertunjangkan kekuatan akidah mampu membawa Selangor ke peringkat lebih cemerlang lagi pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin diberikan taklimat oleh pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum membuat lawatan tapak cadangan membangunkan Maahad Tahfiz di Bagan Terap.

Selangor Kini difahamkan, kerja menaiktaraf Maahad Tahfiz di Selangor akan dimulakan di atas sebidang tanah seluas 100 ekar di Bagan Terap, Sabak Bernam.

Dalam lawatan itu, Mohamed Azmin sempat meninjau beberapa bangunan yang masih kukuh dan cantik tetapi memerlukan beberapa kerja ubah suai bagi dijadikan pusat pengajian Maahad Tahfiz.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.