Oleh: NAZLI IBRAHIM
SABAK BERNAM, 25 SEP: Pentadbiran Kerajaan Negeri kekal berjalan seperti biasa tanpa sebarang rombakan exco.
Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata ini berikutan Kerajaan Negeri yang ada ketika ini dibentuk selepas mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada 2013 lalu.
“Ini adalah kerajaan yang diberi kepercayaan oleh rakyat pada PRU-13 dan kita akan teruskan hingga tamat penggal nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Qurban Perdana Dato’ Menteri Besar Selangor ke Sabak Bernam sempena Hari Raya Aidil Adha di Masjid Masjid Sultan Muhammad Shah, Parit 10, di sini, hari ini.
Menyentuh isu pelancaran Pakatan Harapan baru-baru ini, Mohamed Azmin menegaskan perbincangan meja bulat akan diadakan dari semasa ke semasa.
“Sedangkan bina rumah sebiji pun makan masa 18 bulan, inikan pula nak bina masyarakat,” katanya.
-NR-