Categories
NASIONAL

Najib lemah, kuasa asing campur tangan isu negara

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 29 SEP: Isu kenyataan Duta China ke Malaysia Dr Huang Huikang berkenaan himpunan “baju merah” di Jalan Petaling amat luar biasa dan menunjukkan kegagalan kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak menyebabkan kuasa asing campur tangan dalam isu politik tempatan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata isu itu jelas membuktikan reputasi negara ini yang suatu ketika dulu dijadikan negara contoh kini tercalar.

“China, melalui wakilnya ke Malaysia, bagaikan memberi isyarat mereka sudah bersedia menyatakan pendirian berkenaan perihal negara lain.

najib mugshot interview 01“Terdapat risiko ketandusan pemimpin baik di Malaysia ini boleh menyebabkan lebih banyak campur tangan kuasa asing seperti ini,” katanya dalam kenyataan media.

Bagaimanapun, Nik Nazmi berkata, tindakan Dr Huang mungkin melampaui batas yang bersesuaian dengan seorang ahli diplomat.

Demikian itu, katanya, beliau berharap mereka turut bersedia menerima teguran daripada warga dunia berkenaan pelbagai isu di China, termasuk mengenai cara mereka mengendalikan aktivitis pro-demokrasi, masyarakat Muslim Uighur dan warga Tibet.

“Namun, apa yang tidak boleh dinafikan adalah perkara itu tidak terjadi sekiranya Najib Razak dan kerajaan menunjukkan kepimpinan baik, serta berprinsip dan lebih tegas di dalam kes “baju merah”.

“Sebaliknya apa yang kita saksikan, ramai ahli kepimpinan dalam pentadbiran Umno mengeluarkan kata bercanggah dan tidak benar, termasuk Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Nik Nazmi berkata, Malaysia juga tidak seharusnya mengambil hati atas kritikan daripada pihak luar, terutamanya di dalam hal politik dan hak asasi manusia.

“Walaupun prinsip “tidak campur tangan”, kita sering juga menyatakan pendirian dan memberi pendapat dalam isu antarabangsa contohnya keadaan di Palestin.

“Selain itu, Malaysia juga merupakan antara negara Komenwel pertama mengkritik polisi Apartheid di Afrika Selatan.

“Jadi untuk memulihkan kegemilangan negara ini di persada dunia, kita memerlukan kepimpinan berketerampilan dan berprinsip dalam pentadbiran,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.