Categories
NASIONAL

Najib salah guna SOSMA tahan Khairuddin

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 25 SEP : Penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) menerima kecaman pelbagai pihak.

Terbaru, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen dalam satu posting di Facebook, berkata SOSMA diluluskan di Parlimen bagi menyediakan langkah khas berkaitan kesalahan keselamatan.

Sebaliknya, beliau berkata Khairuddin hanya mempertahankan haknya dengan memfailkan laporan rasuah membabitkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Bagaimana seseorang yang memfailkan laporan rasuah terhadap Perdana Menteri di luar negara dianggap mengancam keselamatan negara?

“Khairuddin tidak melancarkan perang ke atas Malaysia, beliau hanya memfailkan aduan rasuah terhadap (Datuk Seri) Najib (Razak),” katanya.

Beliau berkata implikasi tindakan terbaru Najib itu bukan sahaja tidak masuk akal, malah membimbangkan dan membuktikan salah guna kuasa.

“Untuk ‘mengunci’ Khairuddin, Najib menyalahguna kuasa dengan melakukan penahanan tanpa perbicaraan.

“Justeru, sempena Hari Raya Aidiladha hari ini, mari sama-sama kita berdoa kepada keluarga Khairuddin atas pengorbanan yang telah beliau lakukan,” katanya.

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu ditahan selama 28 hari untuk siasatan di bawah SOSMA.

Beliau ditangkap kira-kira pukul 4.40 petang kelmarin di Kompleks Mahkamah Jalan Duta sebaik sahaja dibebaskan dari tahanan sebelum ini.

Beliau pada mulanya ditangkap kerana disyaki bertindak untuk ‘menjatuhkan kerajaan.’

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis menganggap tindakan Khairuddin menggunakan saluran perundangan asing untuk mengenakan tekanan antarabangsa berhubung isu 1MDB sebagai mensabotaj negara.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.