Categories
NASIONAL

Pakatan Harapan ganti Pakatan Rakyat

Oleh: AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 22 SEP: Selepas bermesyuarat lebih tiga jam, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan kerjasama baharu dinamakan Pakatan Harapan.

Sebagai langkah pertama, gabungan itu disertai PKR, DAP dan Amanah mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku calon Perdana Menteri bagi menggantikan Datuk Seri Najib Razak sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pakatan Harapan“Mengambil kira kepentingan rakyat, parti hadir bersidang dalam Rundingan Meja Bulat yang dipanggil Ketua Pembangkang bersetuju menubuhkan pakatan pembangkang baru yang dinamakan Pakatan Harapan.

“Sebuah Jawatankuasa Khas diwakili Setiausaha Agung dan wakim dari setiap parti ditubuhkan memperhalusi terma penubuhan Pakatan Harapan termasuk perjanjian pakatan, dasar bersama, etika kerjasama sesama parti yang menganggotai Pakatan Harapan dan lain-lain,” katanya dalam sidang media di Hotel Empire.

Katanya, mulai hari ini Pakatan Harapan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat dan berdepan Barisan Nasional (BN).

Jelas Dr Wan Azizah, pemilihan Anwar dibuat kerana beliau adalah antara pemimpin sesuai menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kreadibiliti yang ditinggalkan Najib.

Ketika ditanya mengenai ketidak hadiran PAS beliau menjawab parti itu mengucapkan terima kasih di atas undangan namun tidak dapat menghadirinya buat masa ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.