Categories
SELANGOR

PBT perlu kreatif perangi Aedes

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 23 SEP: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu lebih kreatif menarik minat masyarakat untuk turut serta dalam memastikan persekitaran bebas aedes dalam usaha memerangi gejala denggi.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Selangor, Dr Daroyah Alwi, berkata Majlis Perbandaran Sepang (MPSP) antaranya sudah melaksanakan program pendidikan seperti penubuhan Denggi Action Community (DAC), Denggi Action Kids (DAK) serta kempen Bas Sekolah Tanpa Aedes (BATAS) bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.

“Program sebegini mampu menarik minat dan perhatian masyarakat untuk turut serta dalam usaha memastikan persekitaran terus bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes.

P9220962“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula mengambil inisiatif menganjurkan Program Gerak Advokasi Denggi terhadap bahaya demam denggi dengan kaedah memberi nasihat dari rumah ke rumah secara langsung dan membabitkan pelbagai pihak antaranya pemimpin masyarakat, sukarelawan serta pelajar,” katanya dalam kenyataan media.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan tambahan kepada semua PBT supaya menggandakan usaha melalui projek khas kesedaran dan pendidikan yang membabitkan komuniti juga masyarakat setempat.

“Terbaru, Kerajaan Negeri bakal melancarkan Mobile Apps Denggi sebagai aplikasi pintar yang memaparkan data denggi secara mingguan.

“Aplikasi ini sudah dilaksanakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan mendapat respon positif daripada masyarakat apabila mereka mampu mendapatkan maklumat terkini situasi denggi di kawasan masing-masing secara terus,” katanya.

denggi editSebelum itu, difahamkan, kes kematian di Selangor terus meningkat ke 101 dan Petaling mencatatkan jumlah tertinggi dengan 36 kematian, Hulu Langat (23), Klang (15), Gombak (13), Sepang (7), Kuala Langat (3), manakala Kuala Selangor dan Hulu Selangor masing-masing dengan dua kematian sehingga 19 September lalu.

Manakala, di minggu epid ke 37, empat daerah utama terus menunjukkan kes denggi tertinggi iaitu daerah Petaling (20,164 kes), Hulu Langat (11,282 kes), Klang (6,071 kes) dan Gombak (5,330).

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.