Categories
NASIONAL

TPM jangan nafi hak rakyat berhimpun

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 SEP: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak patut menafikan hak rakyat berhimpun kerana ia dibenarkan dan selaras dengan ketetapan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata kenyataan dibuat Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri tidak mahu demonstrasi diadakan lagi selepas ini terutama baju kuning dan merah tidak menghormati hak rakyat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

FahmiKatanya, ia jelas melanggar Perkara 10, Fasal 1 (b) yang berbunyi: “semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata,”.

“Ahmad Zahid sewajarnya bersikap lebih jujur dan adil dalam isu ini. Beliau tidak patut menafikan hak rakyat untuk berhimpun dengan aman hanya kerana penganjur himpunan baju merah gagal mengawal keadaan terutama di kawasan Jalan Petaling.

“Tetapi, jika beliau mahu mengelak perhimpunan aman seperti Bersih 4.0 daripada berlaku lagi, saya cadangkan Ahmad Zahid dan pimpinan kerajaan segera melaksanakan reformasi seperti dituntut kumpulan terbabit demi Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Ahmad Zahid tidak patut menyamakan perhimpunan Bersih 4.0 yang menggesa reformasi pilihan raya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berundur kerana isu rasuah, berbanding himpunan baju merah apabila mempunyai kelompok ekstremis yang sengaja menggunakan isu perkauman bagi menimbulkan ketegangan.

Katanya, perhimpunan Bersih 4.0 berlangsung selamat dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda awam, bahkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tidak perlu dikerahkan.

ZAHID HAMIDI“Ini jauh berbeza dibandingkan dengan himpunan baju merah apabila sekelompok ekstremis sengaja melanggar arahan polis daripada memasuki kawasan Jalan Petaling hingga memaksa FRU dan trak meriam air digunakan.

“Hingga kini, belum ada berita berkenaan mereka bertanggungjawab menceroboh masuk ke kawasan itu ditangkap atau dihadapkan ke mahkamah,” kata Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu.

Katanya, saranan Timbalan Perdana Menteri itu jelas berbeza dan tidak serasi dengan matlamat Akta Perhimpunan Aman 2012 seperti termaktub di dalam Perkara 2 akta terbabit iaitu “…bahawa semua warganegara mempunyai hak untuk menganjurkan perhimpunan atau untuk menyertai perhimpunan, secara aman dan tidak bersenjata;”

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.