Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Persekutuan patut belajar cara Selangor selenggara jalan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JULAI: Dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya Kerajaan Negeri gagal menyelenggara jalan negeri menerusi peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan raya Malaysia (MARRIS)  adalah tidak benar.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, RM600 juta diluluskan sebagai Siling Perbelanjaan MARRIS untuk agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) Selangor, 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sembilan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), bagi tahun 2017.

Katanya, jumlah itu melebihi jumlah pemberian yang dijangka dari Kerajaan Persekutuan, yang dianggarkan sebanyak RM496.38 juta.

ybzaidy-2“Perbezaan jumlah terimaan dengan sasaran perbelanjaan berkenaan akan ditampung menerusi baki terkumpul tabung Amanah MARRIS Negeri Selangor hasil penjimatan proses perolehan secara terbuka dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan.

Zaidy berkata, kesemua wang pemberian MARRIS diterima Kerajaan Negeri adalah diperakaunkan ke dalam Tabung Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (Vot Amanah: 57041).

Katanya, perbelanjaan dana itu juga adalah tertakluk kepada Arahan Amanah tabung berkenaan dan Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian MARRIS yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF).

“Diharap Kerajaan Persekutuan dapat mencontohi komitmen dan prestasi Kerajaan Negeri dalam penyelenggaraan jalan persekutuan di dalam Selangor.

“Jalan Persekutuan (FT180 dan FT181) di Pelabuhan Kelang misalnya adalah jalan pintu masuk utama untuk perdagangan secara import dan eksport negara, Jalan Klang – Teluk Intan (FT05) merupakan jalan yang menghubungkan antara negeri dan menjadi akses serta nadi kepada aktiviti ekonomi setempat.

jalan reko“Kerajaan Negeri mengambil serius kerosakan di jalan berkenaan dan mengambil maklum status jalan berkenaan yang merupakan Jalan Persekutuan.

“Tetapi oleh kerana penggunaan dana MARRIS khusus untuk pembaikan Jalan Persekutuan adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, maka dana khusus membaiki jalan berkenaan haruslah disediakan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, Ahmad Zahid mendakwa Kerajaan Negeri tidak menambah baik kemudahan jalan negeri di bawah MARRIS selepas menerima peruntukan lebih RM200 juta daripada Putrajaya.

Categories
NASIONAL

TPM jangan nafi hak rakyat berhimpun

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 SEP: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak patut menafikan hak rakyat berhimpun kerana ia dibenarkan dan selaras dengan ketetapan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata kenyataan dibuat Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri tidak mahu demonstrasi diadakan lagi selepas ini terutama baju kuning dan merah tidak menghormati hak rakyat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

FahmiKatanya, ia jelas melanggar Perkara 10, Fasal 1 (b) yang berbunyi: “semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata,”.

“Ahmad Zahid sewajarnya bersikap lebih jujur dan adil dalam isu ini. Beliau tidak patut menafikan hak rakyat untuk berhimpun dengan aman hanya kerana penganjur himpunan baju merah gagal mengawal keadaan terutama di kawasan Jalan Petaling.

“Tetapi, jika beliau mahu mengelak perhimpunan aman seperti Bersih 4.0 daripada berlaku lagi, saya cadangkan Ahmad Zahid dan pimpinan kerajaan segera melaksanakan reformasi seperti dituntut kumpulan terbabit demi Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Ahmad Zahid tidak patut menyamakan perhimpunan Bersih 4.0 yang menggesa reformasi pilihan raya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berundur kerana isu rasuah, berbanding himpunan baju merah apabila mempunyai kelompok ekstremis yang sengaja menggunakan isu perkauman bagi menimbulkan ketegangan.

Katanya, perhimpunan Bersih 4.0 berlangsung selamat dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda awam, bahkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tidak perlu dikerahkan.

ZAHID HAMIDI“Ini jauh berbeza dibandingkan dengan himpunan baju merah apabila sekelompok ekstremis sengaja melanggar arahan polis daripada memasuki kawasan Jalan Petaling hingga memaksa FRU dan trak meriam air digunakan.

“Hingga kini, belum ada berita berkenaan mereka bertanggungjawab menceroboh masuk ke kawasan itu ditangkap atau dihadapkan ke mahkamah,” kata Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu.

Katanya, saranan Timbalan Perdana Menteri itu jelas berbeza dan tidak serasi dengan matlamat Akta Perhimpunan Aman 2012 seperti termaktub di dalam Perkara 2 akta terbabit iaitu “…bahawa semua warganegara mempunyai hak untuk menganjurkan perhimpunan atau untuk menyertai perhimpunan, secara aman dan tidak bersenjata;”

-NFN-

Categories
NASIONAL

Rasuah dalam Umno sudah lumrah

politik-wang

SHAH ALAM 20 OKT : Pengakuan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengesahkan rasuah adalah lumrah yang diraikan oleh peringkat akar umbi hingga ke kepimpinan tertinggi Barisan Nasional.

Naib Presiden PKR, Datuk Chua Jui Meng menegaskan mana-mana parti politik yang membudayakan politik wang seperti lubuk perasuah dan pemecah amanah.

“”Sistem rasuah ini sudah lama berlaku dan lihatlah kesannya kepada rakyat sekarang dan ia menjadi tragedi kepada negara,” kata Jui Meng.

chua jui meng -wacanaJui Meng adalah bekas Naib Presiden MCA dan menyertai PKR pada 2009. Meninggalkan Barisan Nasional dan budaya politik gagasan itu menyebabkan beliau dilucut gelaran Dato’ Seri.

Dr Mahathir baru-baru ini berkata rasuah masih berleluasa dalam pemilihan Umno dan ahli-ahlinya yang mengundi didorong karenah politik wang.

“Saya sendiri semasa bertanding di peringkat bahagian Umno terpaksa menyalurkan RM200 seorang. Jadi anda boleh bayangkan berapa banyak yang telah dihabiskan sehingga saya menjadi Perdana Menteri,” kata beliau.

Sebelum ini, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar, berkata maklum-balas yang diterima pihaknya mendapati wang diagihkan di program-program khas yang dianjurkan untuk Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Calon yang terpilih untuk jawatan kanan dalam Umno nanti akhirnya akan diberi portfolio menteri, dimana mereka akan terlibat dalam membuat keputusan keatas projek-projek mega.  Soalnya adalah adakah projek-projek ini berdaya maju, atau hanya sebagai imbalan kepada pihak yang membiayai kempen-kempen beli undi itu?” kata Akhbar.

Sementara itu, Jui Meng berkata beliau tidak yakin kepimpinan Barisan Nasional dapat membanteras politik wang. Beliau juga berpendapat sistem pemilihan satu ahli satu undi yang diamalkan PKR lebih berkesan dalam melawan salahlaku itu.

“Umno tidak boleh lari daripada gejala politik wang walaupun sistem pemilihan yang dilaksanakan dengan menambah perwakilan dilakukan,” katanya.