Categories
NASIONAL

Wan Azizah: “Yang naikkan Najib kini bersama rakyat mahu jatuhkan dia”

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 SEP: PKR sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan zalim, kata Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, kesediaan itu penting dalam usaha memperkuat barisan menentang kerajaan yang memporak-perandakan kesejahteraan rakyat termasuk meneruskan kerjasama politik dengan PAS.

IMG_20150903_123949“Kita bekerja dengan semua orang untuk jatuhkan kerajaan zalim yang membuatkan ekonomi jadi begini dan mahu tatakelola baik.

“Sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang mahu bersama kita, dialu-alukan. Seseorang yang naikkan Najib menjadi Perdana Menteri pun kini bersama rakyat mahu menjatuhkannya,” katanya ketika ditemui di lobi bangunan Jabatan Agama Islam Selangor, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau memaksudkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mahu bekerjasama dengannya, Wan Azizah hanya tertawa kecil.

Pada masa sama, Wan Azizah enggan mengulas lanjut bantahan Parti Amanah Negara (Amanah) yang tidak mahu memasukkan PAS dalam gabungan pembangkang baharu, Pakatan Rakyat 2.0.

“Itu pandangan dia,” katanya merujuk kenyataan Amanah, semalam.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.