Categories
NASIONAL

Sembilan tahun berlalu, motif dan dalang kematian Altantuya kekal misteri

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 OKT: Selepas sembilan tahun berlalu, kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu kekal misteri tanpa sebarang motif dan tiada pihak mengaku bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan  itu berlaku.

Altantuya dijumpai secara ngeri di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja, berdekatan Shah Alam, berdekatan dengan Empangan Tasik Subang di antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi pada 20 Oktober 2006.

AltantuyaSebuah kes berprofil tinggi, pembunuhan kejam Altantuya yang diletupkan menggunakan bahan letupan C4 pernah menggemparkan negara apabila cebisan mayat ditemui selepas 17 hari berlalu.

Enam individu ditahan dan disiasat berhubung dengan kejadian ini antara yang dipanggil Abdul Razak Baginda, seorang yang rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kes ini juga melibatkan dua orang anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah dan Koperal Sirul.

Prosiding dimulakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 18 Jun 2007 dengan lebih 100 saksi dipanggil memberikan keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

SirulPendakwaan kes ini amat bergantung kepada keterangan langsung, keterangan ikut keadaan, keterangan pakar, keterangan saintifik, keterangan dokumenteri, pengakuan tertuduh kedua kepada pegawai atasannya dan beberapa keterangan lain di samping mengaitkan beberapa barang kes yang dijumpai.

Abdul Razak Abdullah Baginda dituduh bersubahat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada pertuduhan membunuh Altantuya.

Tiga anggota panel hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan mereka terhadap pensabitan dan hukuman

Akhirnya pada 13 Januari 2015, kes ini ditutup dengan hukuman gantung terhadap dua anggota UTK tersebut.

Namun sehingga kini, tiada sebarang maklumat mengenai sabitan hukuman kepada kedua-dua tertuduh memandangkan seorang daripada mereka, Sirul Azhar kini melarikan diri ke Australia.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.