Categories
NASIONAL

Sembilan tahun berlalu, motif dan dalang kematian Altantuya kekal misteri

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 OKT: Selepas sembilan tahun berlalu, kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu kekal misteri tanpa sebarang motif dan tiada pihak mengaku bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan  itu berlaku.

Altantuya dijumpai secara ngeri di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja, berdekatan Shah Alam, berdekatan dengan Empangan Tasik Subang di antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi pada 20 Oktober 2006.

AltantuyaSebuah kes berprofil tinggi, pembunuhan kejam Altantuya yang diletupkan menggunakan bahan letupan C4 pernah menggemparkan negara apabila cebisan mayat ditemui selepas 17 hari berlalu.

Enam individu ditahan dan disiasat berhubung dengan kejadian ini antara yang dipanggil Abdul Razak Baginda, seorang yang rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kes ini juga melibatkan dua orang anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah dan Koperal Sirul.

Prosiding dimulakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 18 Jun 2007 dengan lebih 100 saksi dipanggil memberikan keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

SirulPendakwaan kes ini amat bergantung kepada keterangan langsung, keterangan ikut keadaan, keterangan pakar, keterangan saintifik, keterangan dokumenteri, pengakuan tertuduh kedua kepada pegawai atasannya dan beberapa keterangan lain di samping mengaitkan beberapa barang kes yang dijumpai.

Abdul Razak Abdullah Baginda dituduh bersubahat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada pertuduhan membunuh Altantuya.

Tiga anggota panel hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan mereka terhadap pensabitan dan hukuman

Akhirnya pada 13 Januari 2015, kes ini ditutup dengan hukuman gantung terhadap dua anggota UTK tersebut.

Namun sehingga kini, tiada sebarang maklumat mengenai sabitan hukuman kepada kedua-dua tertuduh memandangkan seorang daripada mereka, Sirul Azhar kini melarikan diri ke Australia.

EZY

Categories
NASIONAL

Sirul sedia dedah kes Altantuya bila waktu sesuai

KUALA LUMPUR 23 FEB: Telesidang antara Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar dengan Bekas komando polis Koperal Sirul Azhar Umar akhirnya berjaya dilakukan selepas penantian sejak 11.33 pagi.

Dalam sidang media pada  1.30 tengah hari, Sirul yang didapati bersalah membunuh warga Mongolia Altantuya Sharibuu berkata, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Australia kerana memberi pelindungan kepadanya sepanjang ditahan di negara itu.

ALTANTUYAKatanya, beliau tidak berhasrat untuk membuat sebarang kenyataan dalam waktu terdekat.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya amat berterima kasih dengan media Malaysia yang membuat liputan.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Australia yang menyediakan tempat yang selamat,” kata Sirul.

Sirul berkata dia kini di bawah lindungan Australia dan tidak berhasrat pada masa kini untuk membuat sebarang pendedahan.

“Walau bagaimana pun akan membuat kenyataan lain apabila waktu sesuai,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Sirul diminta cerita kenapa bunuh Altantuya kepada media Australia

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 19 JAN: PAS meminta Koperal Sirul Azhar mendedahkan secara keseluruhan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu kepada media Australia ekoran Malaysia masih gagal mendapatkan kerjasama negara itu membawanya pulang bagi berdepan hukuman.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata, kes berkenaan sudah berlarutan sejak sekian lama dan akan terus menjadi isu di seluruh negara sehingga semua soalan berhubung skandal pembunuhan berkenaan terjawab sepenuhnya.

“Kerajaan Australia sudah memaklumkan tidak akan menghantar Sirul pulang kecuali Malaysia memberi jaminan bahawa beliau tidak akan dikenakan hukuman gantung kerana Australia ada prinsip menolak hukuman mati dan dianggap bersubahat jika membenarkannya pulang.

altantuya“Saya hendak tahu apa Menteri Luar akan lakukan berhubung kes ini kerana ia tidak boleh dibenarkan terhenti sekadar itu.

“Pada masa sama, saya ingin minta Sirul ceritakan keseluruhannya kepada akhbar Australia mengapa dia bunuh Altantuya,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Pada masa sama, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam turut mempersoalkan bagaimana Sirul yang terlibat dengan pembunuhan berprofil tinggi boleh melepaskan diri sehingga ke Australia dengan mudah.

Katanya, keadaan itu jelas mengelirukan kerana peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal melunaskan bayaran pinjaman dengan mudahnya dihalang pergi ke luar negara.

“Bagaimana Sirul boleh ke luar negara sedangkan orang yang tidak bayar pinjaman PTPTN boleh dihalang dan dirampas pasport mereka.

khalid samad“Ini adalah persoalan yang gagal dijawab sehingga hari ini dan Perdana Menteri serta Menteri Dalam Negeri harus memberi penjelasan berhubunn perkara berkenaan,” katanya.

Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri, 38, dan tertuduh kedua, Sirul, 43, kerana didapati bersalah membunuh Altantuya, sembilan tahun lalu.

Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes kerana dipercayai berada di Australia dan susulan itu, Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Akhbar Sydney Morning Herald melaporkan Australia tidak akan memenuhi permohonan Malaysia kerana mereka adalah antara negara yang tidak memperuntukkan hukuman mati dalam undang-undangnya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Polis patut bawa balik Sirul Azhar, jangan cuai

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 19 JAN: Kerajaan perlu bertindak menjejaki dan membawa pulang Koperal Sirul Azhar Umar ke Malaysia untuk menjalani hukuman bersama Cif Inspektor Azilah Hadri.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi bersikap adil terhadap Azilah dan sekiranya gagal, ia bakal mendatangkan persepsi negatif pada pandangan rakyat.

ALTANTUYA“Pada saya ini kecuaian yang berlaku dalam aspek pengurusan kes jenayah dalam negara kerana ia kes yang besar.

“Kita minta Polis mencari Sirul Azhar sehingga dapat kerana tentunya tidak adil kalau Azilah sahaja dikenakan hukuman,” katanya kepada SelangorKini di sini, semalam.

Beliau berkata, persoalan juga wujud dan diyakini ada pihak tertentu yang menasihati Sirul Azhar untuk ke Australia kerana bukan semua orang mengetahui negara terbabit tidak membenarkan ekstradisi dalam kes gantung sampai mati.

“Diyakini ada kelompok tertentu yang memberi nasihat kepadanya yang akhirnya menyebabkan beliau memilih Australia sebagai destinasi.

“Kerajaan khususnya menteri dalam negeri mengambil serius perkara ini kerana hal seperti ini tidak boleh ‘double standard’,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Katil itu berkata, pihak penghakiman juga diminta berwaspada dalam isu itu kerana rakyat melihat dan berangapan ia sebahagian konspirasi untuk memastikan mereka berdua bakal bebas dan tidak dikenakan hukuman.

Beliau berkata, cubaan membawa kes Sirul Azhar ke mahkamah Australia akan membabitkan satu siri undang-undang dan bakal memberi kesan kepada negara.

“Kalau kita nak failkan ke Australia tentu akan membabitkan kos dan sekiranya kita kalah tentunya akan membabitkan imej negara.

“Dalam hal ini saya tidak fikir rundingan G2G (kerajaan dan kerajaan) akan berjalan dengan baik,” katanya.

EZY