Categories
SELANGOR

Agihan zakat institusi lebih baik berbanding perseorangan

SHAH ALAM, 20 OKT : Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberi penjelasan secara terperinci berkenaan hikmah menunaikan zakat kepada institusi berbanding agihan sendiri kepada asnaf.

Dalam satu paparan di Facebook, LZS berkata ketelusan institusi dalam pengurusan zakat adalah jauh lebih tinggi dan terjamin jika dilaksanakan amil dilantik.

Mengambil contoh di Selangor, insitusi itu berkata amil dilantik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tertakluk kepada jenis pengauditan oleh agensi audit berbeza sepanjang tahun.

LZS ZAKAT“Dengan kuasa yang ada termasuk melalui peruntukan perundangan serta pengurusan amil yang cekap dan tegas, pembayar zakat lebih berdisiplin dan tidak terlepas daripada menunaikan kewajipan berzakat mereka.

“Amil perlu memberi bantuan bukan sahaja kepada mereka yang memohon, tetapi perlu proaktif mencari dan menyiasat khususnya golongan fakir dan miskin yang tidak meminta seterusnya mengagihkan zakat kepada mereka yang berhak,” katanya.

Mengulas lanjut, LZS berkata agihan zakat melalui institusi dapat menjaga kehormatan penerima zakat supaya sentiasa terpelihara daripada sifat malu dan rendah diri.

Katanya pengurusan institusi amil bertauliah juga bersifat lebih teratur dan sistematik, berbanding pengagihan zakat yang dilakukan sendiri.

“Melalui tenaga kerja yang berilmu dan berpengalaman, pengurusan zakat lebih berupaya melaksanakan aktiviti pengumpulan, pengawalan serta pengagihan zakat secara teratur, menyeluruh dan berkesan.

“Salah satu manfaat terbesar diperolehi jika zakat dibayar kepada institusi amil adalah keupayaan mengumpulkan dana zakat yang besar secara berpusat,” katanya.

LZS turut menambah, pengumpulan maklumat berpusat melalui institusi itu mengelak daripada berlakunya pertindihan dan pembaziran wang zakat.

“Kebiasaannya agihan perseorangan terhad kepada orang atau kumpulan dikenali pembayar zakat dan memungkinkan berlakunya pengenepian hak orang lain lebih memerlukan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.