Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Bukit Melawati angkat sumpah setiausaha politik MB hari ini

SHAH ALAM, 10 FEB: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati akan mengangkat sumpah hari ini sebagai setiausaha politik Dato’ Menteri Besar yang baharu.

Juwairiya Zulkifli yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Wanita KEADILAN itu berkata beliau menerima surat pelantikan pada Isnin dan akan mula bertugas hari ini.

“Terima kasih kepada Dato’ Seri Amirudin Shari atas kepercayaan kepada saya yang juga mewakili kaum wanita untuk menggalas tanggungjawab berat ini.

“Walaupun ia cabaran baharu, namun tekad saya adalah untuk memperkukuhkan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Menteri Besar seterusnya memperkukuhkan pentadbiran Pakatan Harapan di Selangor,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini, jawatan itu dipegang ADN Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah yang melepaskannya apabila dilantik sebagai EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi.

Categories
SELANGOR

Ribut: 20 bumbung rumah rosak termasuk 3 blok SJKC Bukit Kemuning

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 JAN: Kerajaan Negeri dan Pejabat Tanah Daerah Klang akan melakukan siasatan berhubung jumlah kerugian akibat pukulan ribut yang mengakibatkan bumbung 20 buah rumah mengalami kerosakkan teruk di Batu 8, Bukit Kemuning, semalam.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Suhaimi Shafiei berkata, kejadian itu turut mengakibatkan keseluruhan bumbung asbestos tiga blok Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khee Beng, Bukit Kemuning rosak.

“Tinjauan dilokasi kejadian mendapati banyak bumbung rumah tercabut di merata rata tempat. Ada sebahagian bumbung itu diterbangkan sekitar 100 meter dari tempat asal dan tersangkut di talian elektrik.

“Sekitar 20 rumah terlibat sementara tiga blok SJKC Khee Beng, Bukit Kemuning rosak manakala satu darinya rosak teruk dengan keseluruhan bumbung asbestos bocor dan rosak.

a1d13f6c-11a6-4539-977d-a5deb583edf4“Saya telah memaklumkan kejadian ribut ini kepada Unit Bencana Negeri dan Pejabat Tanah Daerah Klang akan melakukan siasatan lanjut bagi menilai kerosakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas melakukan lawatan ke lokasi kejadian pagi ini yang turut disertai Pejabat Pendidikan Daerah Klang.

Mengulas perkembangan sama, Pengerusi Lembaga Pengurus SJKC Khee Beng, Dato’ Ng Tiong Seng yang turut menyertai tinjauan berpandangan berkemungkinan besar sesi persekolah tidak dapat diteruskan minggu hadapan dan peruntukan besar diperlukan bagi membaiki kerosakan akibat bencana itu.

-nR-

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2015 efektif, Rumah Selangorku capai sasaran

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 OKT: Pelaksanaan perumahan Selangorku mengatasi sasaran ditetapkan Kerajaan Negeri apabila 20,000 unit dibina dalam tempoh tiga tahun.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei, berkata perancangan digariskan dalam Belanjawan 2015 itu adalah pencapaian membanggakan dengan sasaran awal sekitar 15,000 unit sahaja.

yb shuhaimi“Ia kejayaan Kerajaan Negeri apabila anak syarikat dan swasta dapat menyiapkan rumah dalam tempoh ditetapkan hingga melepasi sasaran awal.

“Pembangunan juga bersifat adil tanpa membezakan golongan kurang berkemampuan dan berada menerusi konsep pembinaan dalam kawasan sama,” katanya kepada Selangor Kini.

Adun Sri Muda itu berkata, pembangunan terbabit nyata menepati tema belanjawan 2015 iaitu ‘Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli’ di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Konsep perumahan Selangorku menyediakan empat jenis rumah iaitu A berharga RM42,000, B (RM120,000), C (RM180,000) dan D (RM220,000 hingga RM250,000).

“Maklum balas rakyat di seluruh daerah adalah positif dan ternyata belanjawan dibentangkan tahun ini menepati atau mencapai sasaran seperti mana diinginkan.

“Biarpun pertumbuhan ekonomi dijangka agak menguncup tahun hadapan namun, Kerajaan Negeri bersedia hadapinya menerusi perancangan belanjawan 2016 yang peduli rakyat dengan pembaharuan positif,” katanya.

-nR-