Categories
SELANGOR

DIDIK Smart Selangor bantu rawat autisme

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 OKT: Projek perintis pusat sehenti bagi rawatan autisme dikenali Pusat Didikan dan Terapi Smart Selangor (DIDIK Smart Selangor) bakal dilaksanakan dalam usaha membantu golongan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri membangunkan projek terbabit dengan kos RM500,000 dengan ibu bapa boleh menghantar dan mendapatkan rawatan untuk anak-anak mereka.

“Bagi yang pernah menonton filem “My Name is Khan” lakonan Datuk Shah Rukh Khan, akan menginsafi watak Khan yang sukar berkomunikasi dan hidup dalam dunianya sendiri kerana mengidap sindrom terbabit.

Bajet 2016 Didik SMART“Kini terdapat lebih 20 pusat pendidikan autisme, Cerebral Palsy dan Down Syndrome di Selangor bagi tujuan itu,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyediakan keperluan itu kerana menyedari kos rawatan dan latihan seorang anak autisme mencecah lebih RM2,000 sebulan membebankan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Mengulas lanjut, katanya, Kerajaan Negeri bakal menyalurkan peruntukan RM4 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor bagi pembangunan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SRJK(T)) Ladang Coalfields di daerah Kuala Selangor tahun hadapan.

“Ia adalah untuk kemudahan pendidikan anak-anak pekerja ladang dan pembangunan sekolah berasrama ini akan menempatkan sekurang-kurangnya 500 pelajar dan dibiayai melalui Tabung Amanah Anak Pekerja Ladang Coalfields.

“Ia bertujuan membantu golongan terbabit mendapat pendidikan sempurna dan cemerlang sekali gus mengurangkan kemiskinan di kalangan pekerja ladang,” katanya.

Beliau berkata, JKR Selangor sudah menerima skop kerja daripada lembaga sekolah pada 29 Jun lalu manakala Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor sedang mengambil langkah perlu bagi mendapat kelulusan daripada Jabatan Pemetaan dan Ukur (JUPEM) bagi isu persempadanan tanah.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.