Categories
NASIONAL

GHAH kecewa Akta Hasutan diguna kerajaan sewenang-wenang

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 OKT: Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) melahirkan kekecewaan terhadap Akta Hasutan 1948 yang didakwa digunakan kerajaan sewenang-wenangnya untuk menahan pihak tidak sehaluan dan pengkritiknya.

Jurucakap GHAH, Yap Swee Seng, berkata penahanan aktivis Khalid Ismath tidak boleh dibuat di bawah akta itu kerana apa dizahirkan beliau melalui laman sosial tidak berbaur hasutan.

GHAH“GHAH mendesak agar Khalid dibebaskan segera kerana reman dibuat bermula 7 Oktober selama dua hari dan lanjutan empat hari selepas itu adalah tidak wajar.

“Jika tujuannya hanya kerana ingin menyiasat satu kenyataan di media sosial, polis tidak seharusnya menghabiskan masa menyiasat perkara remeh ini sedangkan jenayah meningkat saban hari yang memerlukan lebih banyak tumpuan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya dengan tegas mendesak supaya kerajaan berhenti menggunakan akta drakonian serta menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunaikan janji dibuat pada 2012 untuk memansuhkan akta zalim itu bagi menjaga diversiti dan menghormati kebebasan bersuara di kalangan rakyat.

Katanya, GHAH juga mengulangi tuntutan dibuat sebelum ini iaitu memansuhkan Akta Hasutan 1948, gugurkan semua pertuduhan dan bebaskan semua tahanan di bawah akta berkenaan serta tiada akta gantian lain dengan peruntukan yang sama zalim.

Khlalid ditahan berikutan tulis di laman sosial twitter pada 6 Oktober lalu menyebut “Jangan kita lupa, ada 2 orang yang sedang ditahan dipenjara sebelum dibuktikan bersalah. 1) Kamal Hisham 2) Khairuddin – mereka berdua melawan berhala”.

Pada 6 Oktober lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Akta Hasutan 1948 adalah sebuah undang-undang yang sah dan mengikut Perlembagaan dan menolak permohonan Prof Madya, Dr Azmi Sharom terhadap akta era kolonial itu.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang membacakan keputusan itu, berkata akta berkaitan tidak bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, seperti dicabar Azmi.

ends

Leave a Reply

Your email address will not be published.