Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) hari ini melahirkan rasa kecewa atas keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan dalam semakan kehakiman kes Akta Hasutan yang telah difailkan oleh Prof Azmi Sharom.
Akta Hasutan 1948 seperti yang diketahui umum selama ini, adalah akta drakonian dan zalim yang dicipta oleh penjajah untuk menahan individu dan menyekat kebebasan bersuara terutama dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara suatu masa dahulu.
Mengekal dan menggunakan akta tinggalan penjajah ini malah boleh dianggap sebagai suatu penghinaan besar kepada kemerdekaan dan kedaulatan negara kita.
Mengulangi semula tuntutan yang diperjuangkan oleh GHAH sejak sekian lama; dengan perkembangan hari ini yang menyaksikan bahawa Akta Hasutan 1948 kekal digunakan biarpun dengan begitu banyak hujah yang mewajarkan pemansuhan dan ketidak berperlembagaannya, kami tetap dengan keras menggesa kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dengan serta merta, tanpa perlu digantikan dengan mana-mana akta lain.
Biarpun apa keputusannya, GHAH akan meneruskan gerak kerja sehingga akta zalim ini dihapuskan serta merta.
Dalam masa yang sama juga, GHAH ingin mengingatkan kerajaan bahawa perkembangan mutakhir ini turut mendapat perhatian kami apabila sekian ramai aktivis dan pemimpin politik ditahan dan disiasat di bawah 124B dan 124C Kanun Keseksaan, sebagai ganti kepada Akta Hasutan.
Kenyataan atau tindakan mengkritik dasar dan kecurangan kerajaan dan pemimpin negara, adalah hak dan tanggungjawab setiap warganegara.
Isu ini sama sekali tidak dipandang ringan oleh kami. Sebarang bentuk pencabulan hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia seperti yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan akan terus kami tentang bersama.
Mansuhkan Akta Hasutan!
Di sediakan oleh,
Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH)