Categories
SELANGOR

Jerebu: Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri diarah batal aktiviti luar

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 22 OKT: Sebarang aktiviti luar membabitkan jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri diarah dibatal dan ditangguhkan ekoran Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan sangat tidak sihat.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga, Daroyah Alwi, berkata ketetapan itu dibuat setelah melihat kemerosotan kualiti udara dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor, semalam

pc dr daroyah 1“Fenomena jerebu melanda negara sehingga kini terus membimbangkan dan membahayakan kesihatan masyarakat.

“Buat masa sekarang, tiada sebarang aktiviti luar boleh dijalankan terutamanya pada hari cuti Sabtu dan Ahad ini iaitu 24 dan 25 Oktober,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) situasi jerebu dijangka berterusan sehingga 27 Oktober ini ekoran kebakaran terbuka masih berlaku di Sumatera dan Kalimantan.

“Masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa memberi perhatian kepada ahli keluarga terutamanya kanak-kanak, warga emas dan penghidap penyakit kronik untuk tidak berada di luar rumah.

“Pastikan setiap seorang menyimpan penutup muka dan hidung (face mask) dan jangan sesekali keluar rumah tanpa memakainya,” katanya.

Orang ramai juga disaran supaya sentiasa memantau tahap kesihatan diri, tingkatkan pengambilan air dalam badan bagi mengekalkan penghidratan dan mendapatkan rehat secukupnya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.