Categories
NASIONAL

Nisbah polis, penduduk 1:10000 di bandar utama membimbangkan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Nisbah anggota polis berbanding penduduk di kebanyakkan bandar utama di negara ini mencecah 1:10000 amat membimbangkan.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata senario itu berbeza dengan ketetapan nisbah polis berbanding penduduk secara keseluruhan ketika ini iaitu 1:300.

Katanya, nisbah 1:300 itu patut dipatuhi memandangkan angka itu tidak jauh berbeza dengan nisbah dicadangkan Polis Antarabangsa (Interpol) iaitu 1:240.

Fuziah Salleh“Bila kita tengok data anggota polis di balai sangat rendah, contohnya di Petaling Jaya 1:10000 dan kebanyakkan di bandar besar seperti di Johor Bahru.

“Polis dalam Cawangan Khas (SB) dan Unit Simpanan terlalu ramai mengapa tidak digunakan untuk memerangi jenayah dan Menteri tidak boleh menafikan data ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Katanya, beliau sudah membangkitkan isu sama sejak 2009 dan percaya kehadiran polis beruniform di kawasan awam dengan lebih kerap mampu mengurangkan kejadian jenayah.

Terdahulu, Fuziah menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengurangkan kadar kejadian jenayah sekaligus mengurangkan kebimbangan rakyat dari menjadi mangsa jenayah dalam persidangan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, 15,000 responden terlibat dengan kajian Indeks Kebimbangan Menjadi Mangsa Jenayah kendalian Program Transformasi Kerajaan (GTP) itu menunjukkan pada 2012 sebanyak 56 peratus atau lebih satu perdua rakyat negara ini bimbang menjadi mangsa jenayah.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.