Categories
NASIONAL

Jerebu : Thailand hantar surat bantahan kepada Indonesia

SHAH ALAM, 7 OKT: Penduduk Songkhla di Selatan Thailand yang mula terjejas dengan jerebu menghantar surat bantahan kepada Indonesia, semalam.

Banchorn Vichiangsri yang mengetuai 20 wakil jaringan badan pembangunan swasta negara itu menyerahkan surat tersebut kepada Konsul Bahagian Masyarakat dan Budaya di Konsulat Indonesia di Songkhla, Wanney Fabiomata.

Kumpulan yang mengelarkan diri mereka sebagai ‘Warga Kota Hatyai-Songkhla yang terjejas dengan jerebu dari Indonesia’ itu turut berhimpun selama setengah jam di hadapan konsulat itu.

Antara kandungan surat yang ditulis dalam Bahasa Thai tersebut menyatakan masalah jerebu akibat pembakaran hutan di Sumatera menjejaskan kesihatan penduduk.

JEREBU THAILAND“Kanak-kanak, warga emas dan tidak terkecuali anak muda mengalami masalah pernafasan dan alahan asap.

“Mereka tidak tahu nasib mereka dan adakah masalah jerebu ini akan ada kesudahannya,” katanya.

Memetik laporan Bernama, surat tersebut juga merayu Indonesia bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah tersebut dengan penuh komitmen.

“Hanya kerajaan Indonesia sahaja yang mengetahui punca dan cara penyelesaian masalah tersebut.” jelas surat itu lagi.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha mahukan perbincangan dua hala dan serantau mengenai jerebu diadakan selepas jerebu dari Indonesia bukan sahaja menjejaskan beberapa wilayah, bahkan menjejaskan kawasan pelancongan Phuket dan Hatyai.

“Berikutan masalah kali ini lebih serius berbanding sebelumnya, saya sudah mengarahkan pegawai di Kementerian Luar berbincang dengan negara punca masalah ini dan bagaimana mereka boleh menanganinya,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan Kabinet, semalam.

Bacaan Indek Udara di tujuh wilayah selatan pada jam 9 pagi semalam adalah Satun (210), Songkhla (163) dan Phuket (136) berada pada tahap bahaya manakala Pattani (102), Yala (97), Narathiwat (72) dan Surat Thani (59) mencatat bacaan sederhana.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.