Categories
SELANGOR

Jom solat hajat atasi jerebu 23 Oktober

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 OKT: Orang ramai dipelawa menyertai solat hajat dan munajat menghadapi musibah jerebu serentak di seluruh masjid di Selangor selepas solat Jumaat, pada 23 Oktober ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata ia juga boleh dilakukan pada bila-bila masa di antara solat fardu di masjid atau surau seluruh Selangor.

YUNUS HAIRI“Diharap rakyat dapat mengambil langkah utama memastikan kesihatan diri sendiri dan ahli keluarga tidak terjejas ekoran jerebu.

“Mereka yang berisiko tinggi perlu sentiasa ambil ubat seperti dinasihatkan, pakai penutup muka, minum banyak air, kurangkan aktiviti luar, sentiasa jaga kebersihan dan ambil makanan sihat dan bersih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, solat hajat dan munajat itu dilaksanakan bertujuan memohon jerebu dipulihkan serta kesihatan dan keselamatan rakyat dilindungi.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) dijangka akan berada di dalam zon tidak sihat sehingga penghujung tahun ini.

Pada masa sama, Yunus menyarankan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk terus memantau perkembangan bacaan IPU semasa bagi tindakan lanjut.

“Jika berlaku peningkatan ke tahap Tidak Sihat dan Sangat Tidak Sihat, JAIS boleh mengambil tindakan menutup sekolah di bawah seliaannya.

“Marilah kita berdoa agar dosa diampuni,agar Allah mengangkat musibah ini serta melindungi rakyat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya. Kepada Allah kita berserah.” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.