Categories
EXCO SELANGOR

Solat hajat buat Palestin selepas Isyak mulai esok

SHAH ALAM, 18 MEI: EXCO hal ehwal agama mengajak umat Islam negeri ini mendoakan kesejahteraan Palestin yang sedang berdepan pertempuran maut bersama Israel.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata solat hajat, qunut nazilah dan bacaan yasin boleh dibuat di kediaman masing-masing mulai esok hingga 21 Mei selepas solat Isyak.

Beliau yang juga wakil rakyat Sungai Kandis turut menyeru masyarakat memohon perlindungan daripada jangkitan Covid-19 yang kian meningkat mutakhir ini.

“Dunia hari ini dilanda pelbagai ujian dan cabaran, ayuhlah kita bersama-sama bermunajat dan berdoa kepada Allah agar segala perkara yang berlaku pada hari ini dipulihkan segera,” tulisnya di Facebook.

Mohd Zawawi berkata solat hajat itu turut disiarkan secara langsung di Facebook rasminya.

Serangan di Palestin pada penghujung Ramadan mengorbankan ratusan penduduk termasuk kanak-kanak dan wanita manakala lebih 920 cedera.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Solat hajat, doa Malaysia iringi jihad rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Rata-rata umat Islam di Malaysia semalam bersolidariti memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara keselamatan serta kesejahteraan rakyat Palestin yang sedang berjihad menentang kezaliman Israel.

Banyak solat hajat dan doa selamat dilaksanakan selepas Solat Maghrib secara serentak di beberapa negeri mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebagai tanda sokongan moral, prihatin dan kebersamaan Malaysia dengan saudara seagama di bumi Palestin.

Di KUALA LUMPUR, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat hajat berjemaah bersama 40 anggota jemaah yang terdiri daripada pegawai dan petugas Istana Negara di Surau Utama Istana Negara, di sini.

Solat sunat hajat turut dilaksanakan di masjid-masjid utama termasuk Masjid Negara dan Masjid Wilayah di ibu negara serta di Masjid Putra, Putrajaya di sini, malam tadi.

Solat hajat dua rakaat yang diakhiri dengan bacaan Qunut Nazilah serta doa selamat itu, amat menyentuh hati ahli jemaah yang hadir, malah ada antara jemaah di beberapa masjid di sini dilihat sebak dan menitiskan air mata ketika mengaminkan doa.

Di PERAK, tinjauan Bernama di Masjid Al-Ansar, Bandar Meru Raya, Ipoh, mendapati kira-kira 40 anggota jemaah menunaikan solat hajat dan doa selamat untuk memohon kesejahteraan rakyat Palestin yang sedang berjuang menentang kekerasan dan penindasan Zionis itu.

Jemaah di situ dibenarkan masuk ke pekarangan masjid seawal pukul 7 malam dan pintu pagar ditutup sejurus azan dilaungkan bagi mengehadkan jumlah kapasiti di dalam masjid.

Di SARAWAK, sebahagian besar masjid dan surau di negeri itu termasuk Masjid Bandaraya Kuching melaksanakan solat hajat selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, agar solat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin dilakukan di seluruh negara.

Tinjauan di Masjid Bandaraya Kuching, mendapati bukan sahaja solat sunat hajat diadakan malah ahli jemaah yang hadir turut mendengar tazkirah ringkas berkenaan Masjid Al-Aqsa yang merupakan tempat suci ketiga umat Islam.

Di JOHOR BAHRU, kira-kira 200 anggota jemaah menunaikan solat sunat hajat dan bacaan Qunut Nazilah serta bacaan surah Yasin di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn, di sini, untuk mendoakan kesejahteraan masyarakat Islam di Palestin.

Di PULAU PINANG pula, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah mengeluarkan pekeliling kepada 800 masjid dan surau di negeri itu melaksanakan ibadah sama.

Di PAHANG, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah antara 50 anggota jemaah yang menunaikan solat hajat dan doa selamat memohon Allah melindungi serta meringankan penderitaan rakyat Palestin di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.

Selain itu, Kerajaan negeri Pahang turut menyumbangkan RM250,000 kepada rakyat Palestin yang sedang berdepan serangan rejim Zionis Israel sehingga mengorbankan dan mencederakan ratusan individu tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak.

Sejak minggu lepas, berlaku siri keganasan Israel terhadap Palestin selepas pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin,

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa pada 7 Mei diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza, dan sehingga kini dilaporkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban manakala beratus-ratus lagi cedera, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran, konflik itu bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Jawi seru masjid di KL, Putrajaya buat solat hajat

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyarankan semua masjid, surau Jumaat dan surau diri Jumaat sementara di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya melaksanakan solat hajat.

Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata saranan bagi memohon perlindungan Allah SWT itu, susulan peningkatan kes Covid-19 yang tinggi dan membimbangkan di negara ini sejak beberapa hari lepas.

“Disarankan solat hajat dilakukan esok (6 Nov) selepas solat Jumaat dan 7 hingga 9 Nov selepas Solat Maghrib di semua masjid, surau Jumaat dan surau di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Semoga doa yang dimunajatkan dengan penuh keikhlasan, rendah diri, keyakinan dan pengharapan diperkenan oleh Allah SWT,” menurutnya dalam kenyataan, semalam.

Malaysia mencatat jumlah kes baharu lebih 1,000 untuk tiga hari berturut sejak 3 Nov dengan jumlah kes hari ini sebanyak 1,009 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Jawi saran masjid, surau di KL dan Putrajaya buat solat hajat

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyarankan semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL) dan Putrajaya, untuk melaksanakan solat hajat dan doa selamat, susulan penularan Covid-19.

Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail berkata, solat hajat itu disaran diadakan selepas solat Maghrib selama tiga hari bermula esok serta selepas Solat Jumaat pada Jumaat ini, bertujuan memohon kepada Allah agar penularan pandemik ini dapat diatasi segera.

“Jawi menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di atas titah perintah agar kesemua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah, agar penularan wabak Covid-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Agong titah masjid seluruh negara anjur solat hajat

SHAH ALAM, 16 OKT: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat supaya penularan Covid-19 dibanteras dengan berkesan dan segera.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
berikutan penguatkuasaaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri.

Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menjelaskan baginda turut bimbang kewujudan beberapa kluster baharu di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Labuan.

“Seri Paduka Baginda menasihati seluruh rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta amalan kebiasaan baharu.

“(Langkah itu) bagi membantu pihak berkuasa memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menyeru rakyat berdoa supaya negara dikurnia keamanan dan ketenangan untuk menjamin kemakmuran serta kesejahteraan semua.

PKPB dilaksana di seluruh Sabah berkuat kuasa pada 13 hingga 26 Oktober, manakala di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk lakukan solat hajat permudah pencarian Nora Anne

NILAI, 9 OGOS: Penduduk di sekitar pekan Pantai di sini mengadakan solat hajat selepas menunaikan solat Jumaat hari ini bagi memohon dipermudahkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin, 15, remaja perempuan warga Ireland yang dilaporkan hilang sejak Ahad.

Solat hajat itu dipimpin Imam 2 Masjid Kariah Pantai, Mohd Taufek Awaludin dan disertai Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar bersama kira-kira 300 jemaah dari beberapa kampung.

Mohd Taufek berkata, jawatankuasa masjid bersedia melakukan solat hajat secara berterusan sekiranya operasi pencarian itu berlarutan.

“Perkara (kehilangan Nora Anne) ini berlaku dalam kawasan kampung kami, jadi inilah ikhtiar kami agar Allah SWT memudahkan operasi mencari mangsa. Solat hajat ini kali pertama dilakukan penduduk di sini bagi kes kehilangan orang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada hari keenam misi pencarian itu hari ini.

Menurut Mohd Taufek, kehilangan remaja itu kali pertama membabitkan tempoh agak lama yang pernah terjadi di situ.

“Sebelum ini ada dilaporkan kejadian serupa namun dalam kebanyakan kes, mangsa berjaya ditemui dalam masa singkat,” katanya.

Sementara itu, polis terus mengedarkan gambar Nora Anne berserta butiran seperti nama penuh, umur, nombor pasport dan tarikh hilang di sekatan jalan raya.

Selain itu, gambar remaja itu turut ditampal di kawasan tumpuan awam antaranya stesen bas dan kedai makan.

Ahad lepas, gadis yang mengalami masalah pembelajaran itu dilaporkan hilang selepas tiba bersama keluarganya dari London pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di sini.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada pagi Ahad.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Solat hajat seluruh negara bermula 10 Mac

SHAH ALAM, 9 MAC: Seluruh rakyat Malaysia diseru mendoakan keselamatan dan kesejahteraan juga perlindungan ke atas rakyhat Malaysia yang berada di Korea Utara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, umat Islam di seluruh negara juga diseru menunaikan solat hajat bagi memohon perlindungan juga keselamatan berhubung ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, esok (10 Mac).

“Saya meminta semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat bermula 10 Mac ini dan berterusan sehingga kemelut ini selesai,” katanya lapor BERNAMA dalam satu kenyataan, semalam.

SolidaritiBeliau turut mengharapkan konflik itu diselesaikan dengan baik dan rakyat Malaysia di Korea Utara dapat kembali ke tanah air dengan selamat.

“Semoga usaha murni ini diberkati dan dirahmati Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean berkata, perbezaan pendapat antara Malaysia dan Korea Utara perlu dibincang serta diselesaikan tanpa mengambil langkah ekstrim.

Beliau mengulas perbalahan antara Kuala Lumpur dan Pyongyang ekoran pembunuhan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam, lapor Channel NewsAsia, semalam.

“Kami memantau rapat perkembangan di sana dengan amat teliti bukan sahaja antara Korea Utara dan Malaysia tetapi juga Korea Utara yang begitu aktif melancarkan peluru berpandunya beberapa hari lalu.

“Saya berpendapat, kita perlu menggalakkan Korea Utara bersikap lebih sederhana dalam tindakan yang diambilnya demi memelihara keamanan dan kestabilan serta keselamatan di rantau ini,” katanya yang juga menteri penyelaras keselamatan nasional Singapura kepada media negara itu di Jakarta.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Jom solat hajat atasi jerebu 23 Oktober

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 OKT: Orang ramai dipelawa menyertai solat hajat dan munajat menghadapi musibah jerebu serentak di seluruh masjid di Selangor selepas solat Jumaat, pada 23 Oktober ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata ia juga boleh dilakukan pada bila-bila masa di antara solat fardu di masjid atau surau seluruh Selangor.

YUNUS HAIRI“Diharap rakyat dapat mengambil langkah utama memastikan kesihatan diri sendiri dan ahli keluarga tidak terjejas ekoran jerebu.

“Mereka yang berisiko tinggi perlu sentiasa ambil ubat seperti dinasihatkan, pakai penutup muka, minum banyak air, kurangkan aktiviti luar, sentiasa jaga kebersihan dan ambil makanan sihat dan bersih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, solat hajat dan munajat itu dilaksanakan bertujuan memohon jerebu dipulihkan serta kesihatan dan keselamatan rakyat dilindungi.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) dijangka akan berada di dalam zon tidak sihat sehingga penghujung tahun ini.

Pada masa sama, Yunus menyarankan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk terus memantau perkembangan bacaan IPU semasa bagi tindakan lanjut.

“Jika berlaku peningkatan ke tahap Tidak Sihat dan Sangat Tidak Sihat, JAIS boleh mengambil tindakan menutup sekolah di bawah seliaannya.

“Marilah kita berdoa agar dosa diampuni,agar Allah mengangkat musibah ini serta melindungi rakyat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya. Kepada Allah kita berserah.” katanya.

Categories
NASIONAL

Solat Hajat di kediaman Anwar Ibrahim malam ini

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Orang ramai dijemput hadir pada majlis solat hajat di kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut Dalam, di sini, malam ini.

Ia bagi memohon dipermudahkan segala urusan dan keputusan rayuan kes Fitnah II yang masih berjalan sehingga hari ini.

Memetik Keadilan Daily, majlis yang akan bermula jam 6.30 petang dimulai dengan zikir munajat dan diikuti solat maghrib.

AnwarKemudian program diteruskan dengan solat hajat dan tazkirah oleh Anwar sendiri sebelum menunaikan solat Isyak.

Hari ini masuk hari keenam perbicaraan kes Fitnah II yang berlangsung di Mahkamah Persekutuan Putrajaya dan dijangka keputusan rayuan beliau akan diketahui esok.

Peguam yang mewakili Anwar yakin anak guamnya itu tidak bersalah dan percaya keputusan Mahkamah Persekutuan akan memihak kepada Anwar.

Categories
NASIONAL

Solat hajat di KLIA diambil keterangan, ritual bomoh tidak ditahan

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 MAC: Tindakan polis yang mengambil keterangan daripada Ketua Pemuda Pas Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim kerana meneruskan Solat Hajat dan bacaan Yasin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencetus polemik di ruang maya khususnya laman sosial Facebook.

Ia timbul kerana beberapa hari sebelumnya, individu yang mendakwa dirinya Raja Bomoh, Ibrahim Md Zin, 80, yang melakukan ritual di KLIA tidak diambil tindakan sama.

Perbuatan bomoh itu ditegur sebagai khurafat dan salah di sisi agama oleh Mufti dan beberapa pakar agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

3b51a04b48524bc5147dc57568e43b19Pengguna laman sosial mula berkongsi gambar terbabit dan memberikan komen negatif terhadap penguatkuasa yang tidak mengambil keterangan terhadap ritual yang diadakan di lokasi sama.

Bagi Gary Shah ALam, dia berpendapat pihak berkuasa Malaysia membiarkan perkara khurafat dilakukan tetapi solat hajat beramai-ramai diambil keterangan.

“Kesian jugalah, kita buat sesuatu untuk kebaikan masih di soal jawab bukan dengan tuhan,tapi dengan sesama makluk,semua dugaan dari tuhan, kearah kebaikan agak susah..tapi bila arah kerosakkan, memang mudah,” kata Nonoi Atie.

Manakala, bagi Pas Cawangan Simpang Lima, berkata perkara terbabit berlaku hasil didikan pemerintahan yang tidak mengamalkan cara Islam.

1925236_10153904392670594_502287806_n“Inilah dia didikan dari pemerintahan yang tidak mengamalkam cara Islam. Islam itu indah jika diamalkan. tetapi tidak bagi kerajaan BN. mengapa? mengapa mereka rela menolak Islam dan memartabatkan perkara yg bodoh untuk perjuangan dan sandaran mereka?,” katanya melalui ruangan komen facebook Pas Cawangan Lima.

Difahamkan, pada mulanya, Solat Hajat dan diimamkan Datuk Ismail Kamus yang diadakan anjuran Dewan Pemuda Selangor itu tidak dibenarkan pihak KLIA.

Namun, diteruskan juga disebabkan kehadiran orang ramai untuk bersama mendoakan keselamatan penumpang MH370 sehingga memenuhi kawasan luar KLIA menyebabkan ia diteruskan.

Bagaimanapun, Selangor Kini tidak dapat menghubungi Ismail dan Syarhan untuk mendapatkan sebarang komen, namun, melalui laman sosial itu, Syarhan berkata, beliau tidak mahu memperbesar dan mempolitikkan isu terbabit.

-NFN-

 

Categories
SELANGOR

Selangor anjur solat hajat mohon penstrukturan air segera selesai

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 13 DIS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyertai majlis solat hajat dan bacaan yassin bagi memohon isu penstrukturan air Selangor dapat segera diselesaikan di Masjid Negeri, Shah Alam, malam tadi.

Kira-kira 200 jemaah hadir ke majlis berkenaan yang diketuai oleh Imam Besar Masjid Negeri, Ahmad Mustafa Mohd Sidin.

2Hadir sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Exco Agama, Permodenan Pertanian Dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi dan Exco Sukan, Dr Yunus Hairi.

Majlis terbabit dimulakan dengan acara solat Maghrib secara berjemaah diikuti dengan solat hajat, bacaan yassin dan solat Isyak.

Sebelum ini, Abdul Khalid komited menyelesaikan isu penstrukturan air di negeri itu dengan menawarkan RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi

Empat syarikat konsesi terbabit dalah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd yang meliputi industri air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.\

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tragedi Mesir: Masjid, surau di Selangor adakan Qunut Nazilah

04

KUALA LUMPUR 18 OGOS: Masjid dan surau di Selangor disaran mengadakan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Mesir yang kini berdepan kekejaman tentera negara mereka sendiri.

Exco Hal Ehwal Islam Selangor, Sallehen Mukhyi mengesyor masjid dan surau mengadakan solat hajat agar pembunuhan beramai-ramai tentera Mesir dihenti, sekaligus meredakan pergolakan di negara itu.

Katanya, nazir masjid juga boleh mewujudkan tabung kutipan derma untuk disalur kepada Ikatan Lepasan Universiti Al-Azhar, sebuah alumni mahasiswa sebelum diagih rakyat Mesir.

“Kita terpanggil untuk membantu rakyat Mesir menuntut hak mereka memiliki sebuah negara yang aman dan kerajaan yang adil terhadap rakyatnya sendiri.

“Pembunuhan yang dilakukan tentera Mesir menyebabkan ramai kehilangan tempat bergantung, suami, anak, ibu dan sebagainya,” katanya kepada TV Selangor.

Qunut Nazilah sunat dibaca ketika umat Islam ditimpa bencana atau musibah seperti peperangan, wabak, kemarau dan sebagainya. Ia boleh dibaca setiap kali solat lima waktu.

Sallehen antara pemimpin Pakatan Rakyat yang menyertai Perhimpuan Munajat Perdana Untuk Mesir di Padang Merbok yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.

Solat hajat, solat jenazah ghaib dan pidato pemimpin Pakatan dan badan bukan kerajaan (NGO), antara pengisian program perhimpunan itu.

Ia turut dihadiri antaranya, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang; Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Perhimpunan itu juga disertai 25 NGO termasuk Tamil Foundation, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MPMA-BKHST) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Dewan perhimpunan dan pertubuhan Cina dari beberapa negeri, antaranya Dewan Perhimpuan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH), Negeri Sembilan (NSCAH), Bandar Cina Pulau Pinang (PGCTH), juga hadir.