Categories
SELANGOR

Red Giants pasukan pertama mara ke suku akhir Piala Malaysia

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 OKT: Selangor menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir Piala Malaysia 2015 selepas menundukkan T-Team 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Menerusi aksi kumpulan C, Red Giants terlebih dahulu menyumbat gol hasil jaringan Andik Vermansyah pada minit ke-18.

Pada minit ke-28, The Titans mengikat semula kedudukan menerusi jaringan Mohd Zarulizwan Mazlan.

Babak kedua kembali menyaksikan anak buah Mehmet Durakovic beraksi garang dan meledak gol kemenangan pada minit ke 72 menerusi Ahmad Hazwan Bakri, memastikan juara 32 kali itu menempah tempat ke suku akhir.

Amiruddin ShariPengurus Selangor, Amirudin Shari menerusi laman Facebooknya menyifatkan kemenangan itu sebagai berharga dan membanggakan.

“Alhamdulillah kemenangan yang sangat berharga, layak ke suku akhir dan pastikan kekal di atas. Moga semua dapat fokus untuk suku akhir dan perlawanan seterusnya,” katanya dalam satu status yang dimuat naik sejam lalu.

Dua lagi pasukan kumpulan C, Kelantan dan Felda United pula sekadar seri 2-2 pada pertemuan di Selayang dengan penyerang Felda United, Thiago Augusto Fernandes menyumbat dua gol (19, 32) manakala The Red Warriors pula menerusi Fakri Saarani (28) dan Badhri Radzi (43).

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.